Program GPTD Kelantan



Pada 1 dan 2 Ogos 2008, bermulalah projek pertama anak buah saya Farid Malcom X dan teman-temannya dari Cosmopoint Kota Bharu dalam menganjurkan Program “Training of Trainers (T.O.T.): Bengkel Latihan & Pengurusan Organisasi (Siri 1)” di Pusat Latihan Dakwah Orang Asli Islamic Outreach ABIM (I.O.A.) Kok Lanas, Ketereh, Kelantan Darul Naim.

Program ini merupakan program sulung anjuran bersama Grup Pengkaji Tamadun Dunia (GPTD) Kelantan dan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Kelantan. Mereka sungguh komited dalam menjayakan program ini. Lebih bersemangat apabila Yang Di-Pertua ABIM Kelantan, Ust. Mohd Faisal Abdullah turut hadir bagi meninjau perjalanan program pada hari ke-2.


Saya menjadi sebahagian daripada 3 orang jurulatih bagi program ini diketuai oleh Sdr. Najmuddin Mohd Nawi (Timb. Pengerusi merangkap Ketua Penyelaras GPTD), dan Sdri. Nik Fatihah Nik Mohammad (Setiausaha III GPTD) atau aku lebih mesra dengan panggilan Makiko Fatihah.




Komitmen Farid dan teman-temannya berjaya menghimpunkan seramai 27 orang peserta terdiri daripada para pelajar Kolej Universiti Metropolitan Kuala Lumpur (KLMU) Cawangan Kota Bharu, Institut Teknologi Darul Naim (ITD), Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST), Universiti Sains Malaysia (USM) Kampus Kubang Kerian, dan Maahad Muhammadi Tumpat telah mengikuti bengkel ini.


Alhamdulillah, secara umumnya, kesemua peserta berpuas hati dengan bengkel ini. Bahkan, para peserta secara yakin menyatakan bahawa mereka kini lebih memahami tentang peranan masing-masing, bukan sekadar pelajar biasa. Hinggakan pasukan jurulatih digelar sebagai "jurutera kemanusiaan"!






Selepas kursus ini , akan diadakan program susulan pasca TOT atau bengkel kedua yang lebih menjurus kepada pengurusan mental dan fizikal . Para peserta dijangka mengadakan ekspedisi Kembara Gunung Stong sebagai susulan untuk bengkel pertama ini. Ada juga cadangan lain agar diadakan aktiviti study circle yang lebih kreatif iaitu berkayak sambil berusrah di tengah sungai Pulau Melaka , Kembara ke pulau-pulau kelantan dan lain-lain.



Majlis penutupan telah disempurnakan oleh Timbalan Yang Di-Pertua ABIM Kelantan, Ust. Ahmad Tarmizi Mat Yussof. Pihak GPTD juga ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada ABIM Kelantan di atas kerjasama yang diberikan sepanjang program ini.



Tahniah diucapkan kepada pihak urus setia di atas kejayaan program tersebut walaupun berhadapan saat-saat yang mencabar. Kepada 27 orang peserta bengkel tersebut, selamat datang diucapkan, dan selamat menjadi sebahagian daripada keluarga GPTD!

penaFATIH : Tamat sahaja program GPTD, sempat menghantar Hamizah dan dua orang kawannya balik ke USM Kubang Kerian. Gembira kerana kehadiran teman-teman fakulti kesihatan USM. Keadaan sedikit tergesa-gesa sebab pada malamnya saya akan berangkat mengembara selama sebulan ke empat buah negeri iaitu Negeri Sembilan, Johor , Selangor dan Wilayah Persekutuan. Saya namakan Kembara Ilmu Di Bulan Kemerdekaan secara Solo.. hehe.. nanti saya cerita lebih lanjut...