Kembara Ilmu : Melawat Pameran MAHA 2008



12 Ogos 2008, saya berpeluang untuk melawat pameran Malaysia, Agriculture, Horticulture and Agrotourism Exhibition 2008 (MAHA 2008) bersama Rezwan. Pameran ini diadakan di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia di (MARDI) Serdang, Selangor. Kesempatan inilah saya berpeluang melihat dengan lebih jelas pembaharuan sektor pertanian dan galakan kerajaan supaya generasi muda meletakkan pertanian sebagai kerjaya dan perniagaan.

MAHA 2008 merupakan penganjuran kali keenam sejak 1999. Bila melalui kawasan sekitar Putrajaya dan Hospital Serdang yang selama ini saya tertanya-tanya apakah binaan berbumbung biru di atas bukit sebelah kiri perjalanan ini adalah sebahagian daripada bangunan UPM , kini baru saya mendapat jawapannya. Rupa-rupanya bangunan tersebut merupakan sebahagian kemudahan Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) yang dijadikan tapak kekal Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA ) .

Menurut Rezwan , kali pertama kawasan berkeluasan 130 hektar itu digunakan ialah pada MAHA 2006 yang menimbulkan rungutan kerana kawasan terlalu luas dan kemudahan yang belum sempurna. Jalan raya yang menghubungkan kawasan pameran pada masa itupun belum lagi berturap dan berbatu.


Namun, pada MAHA 2008 yang bertemakan ‘Pertanian Adalah Perniagaan’ - sama seperti MAHA 2006, ia menjadi daya penarik baru kepada pengunjung kali ini. Tapak MAEPS juga agak unik dengan pelbagai kemudahan yang lebih baik berbanding penganjuran MAHA terdahulu.


MAEPS dibina dengan kos keseluruhan RM252 juta dengan fasa pertama RM43.6 juta dan Fasa II sebanyak RM220 juta. Keluasan tanah MAEPS ialah 120 hektar dan mempunyai empat dewan utama iaitu Dewan A, B, C , D1, D2 dan D3 yang secara keseluruhannya berkeluasan 42,000 meter persegi serta 7,000 tempat letak kereta.

Difahamkan tapak ini sudah pun ditempah untuk beberapa acara penting bermula bulan depan hingga Disember ini. Antaranya untuk Bazar Ramadan, Forum Perdana RTM, Pameran Kraf Tangan Banduan, Kongres Kambing Boer dan Pameran Kraf Tangan Orang Asli. Jika pada MAHA 2006, lebih sejuta pengunjung membanjiri pameran tersebut, MAHA 2008 bakal menyambut lebih ramai daripada itu antara lain kerana kemudahannya yang menarik. Antara kemudahannya ialah ruang untuk mengadakan pameran pertanian, hortikultur dan agropelancongan di negara ini akan diadakan di situ serta acara lain yang bersesuaian.



Tapak pameran itu akan menjadi ruang pameran terbesar di negara ini dengan keluasan 42 ribu meter persegi. MAHA 2008 ini akan menerima pengunjung awam seawal jam 10 pagi hingga 7 malam setiap hari dengan kemampuan menampung sehingga 7,000 kenderaan pada satu-satu masa. Kami berdua memasuki kawasan pameran ini selepas zohor, tetapi lautan manusia dan kenderaan telahpun memenuhi segenap ruang kawasan Taman MAEPS .


Yang menariknya sebanyak tujuh perhentian untuk tram disediakan bagi memberikan keselesaan kepada pengunjung. Pihak pengurusan juga mengenakan bayaran sebanyak RM5 bagi tempat letak kereta dan RM1 bagi tram. Kemudahan di tapak tersebut mempunyai empat tapak pameran dalam dengan siling lutsinar cahaya matahari dan kalis bunyi. Dewan A adalah dewan terbesar dengan keluasan 10,000 meter persegi yang boleh dibahagikan kepada tiga bahagian berlainan. Dewan B dan C pula berbentuk empat segi dengan keluasan 4,000 kaki persegi. Dewan D merupakan bangunan tiga tingkat yang sesuai bagi persidangan, kemudahan majlis jamuan serta ruang pameran tambahan.


Dewan D juga menawarkan enam pilihan bilik seminar lengkap, kawasan pendaftaran dan pameran yang boleh digunakan berasingan atau bersama-sama. Dewan ini juga boleh diubahsuai bagi majlis perkahwinan, majlis korporat, pameran perdagangan, konsert dan peperiksaan. MAEPS juga dilengkapi kemudahan untuk acara luaran termasuk 14 pavilion negeri, tujuh kawasan pertunjukan, amphitheater dan kawasan yang terbuka yang luas bagi mendirikan khemah.


Tujuh sub-sektor adalah bagi mempamerkan kekayaan biodiversiti negara yang kaya seperti akuakultur, padi, nanas, florikultur, ternakan, mekanisasi dan sayur-sayuran.Malah sesiapa yang mengunjungi MAHA 2008, dapat menyaksikan sendiri beberapa tarikan istimewa seperti laman padi, laman nanas, kolam, kawasan bunga-bungaan dan herba termasuk tongkat ali dan landskap yang cantik. Tapak ini dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti sokongan audio visual, akses bagi VVIP, akses pempamer dan kemudahan keselamatan 24 jam sehari bagi memberikan keselesaan dan keselamatan pengunjung. Moga MAHA akan datang , saya berpeluang untuk melawat dan melihat pembaharuan sektor pertanian .




penaFATIH : tertarik dengan kaedah pembungkusan dodol , kerepek dan makanan ringan buaran Malaysia yang dibungkus setanding dengan snek makanan ringan di pasaran seperti Jack & Jill, Double Decker dan lain-lain. Rasanya kalau makcik-makcik yang membuat kerepek dan dodol ini sudah membuat teknik pembungkusan seperti ini 20 tahun lalu, rasanya kita tak perlu lagi membeli snek makanan ringan berjenama barat lagi. Kerana kerepek Malaysia sudah setanding malah mengatasi snek segera yang sedia ada kini.