PUTRAJAYA, 6 Jun (Bernama) -- Tempoh advokasi bagi pemakaian tali pinggang keledar tempat duduk belakang, yang bermula awal bulan ini, dilanjutkan kepada enam bulan, menjadikan penguatkuasaan undang-undang terhadap peraturan baru itu hanya akan bermula pada Januari depan.
Ketua Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Datuk Suret Singh berkata tempoh yang lebih lama untuk kempen advokasi itu dipersetujui secara bersama oleh JKJR, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi meningkatkan kawalan kendiri orang ramai terhadap kepentingan peraturan baru itu.
Bercakap kepada pemberita di sini Jumaat, beliau berkata, dalam tempoh itu, mana-mana penumpang belakang yang didapati tidak memakai tali pinggang keledar akan diberikan nasihat, risalah dan pelekat mengenai peraturan itu.
Kempen akan diadakan secara elektronik melalui laman web www.panducermat.org.my yang antara lain turut memuatkan pengalaman sebenar mereka yang terselamat daripada kemalangan kerana pemakaian tali pinggang keledar.
"Kadar pemakaian tali pinggang keledar bagi tempat duduk belakang di negara ini masih rendah, iaitu 1 hingga 4 peratus, dan JKJR menyasarkan untuk meningkatkannya kepada sekurang-kurangnya 70 peratus dalam tempoh enam bulan ini," katanya.
Bagi jumlah saman yang akan dikenakan, Suret berkata perkara itu akan diumumkan sebelum 1 Jan nanti.
"Dengan sengaja kita tidak umumkan terlalu awal sebab nanti penekanannya akan lari daripada kempen advokasi kepada kempen penguatkuasaan. Kehendak kami adalah untuk menekankan kawalan kendiri dan sikap advokasi," katanya.
Suret berkata mulai 1 Jan depan, peraturan itu akan dikuatkuasakan terhadap semua jenis kenderaan kecuali kenderaan yang didaftarkan sebelum 1 Jan 1995, kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Jan 1995 tetapi tidak dilengkapi tempat pemasang tali pinggang keledar, dan kenderaan komersil termasuk teksi dan kereta sewa.
Kenderaan penumpang yang mempunyai lebih dari lapan tempat duduk termasuk pemandu, dan kenderaan yang mempunyai had muatan barangan melebihi 3.5 tan, turut dikecualikan.
Bagi kenderaan yang didaftarkan selepas 1 Jan 1995 dan mempunyai tempat pemasang tetapi tidak dilengkapi tali pinggang keledar belakang, tempoh tiga tahun diberikan kepada pemiliknya untuk memasang alat keselamatan tersebut, bermula 1 Jan depan.
Fatih : isk..isk.. penguatkuasaan ini membuatkan pakcik Malik (bukan nama sebenar) kat sebelah rumah aku , gaduh-gaduh dengan isteri disebabkan isterinya nak bawak 5 orang anak-anaknya ke supermarket. katanya polis sedang buat penguatkuasaan sekarang, nak check mana-mana kereta yang masih tidak menambahkan tali pinggang keledar dibahagian belakang. mungkin pakcik Malik ni informasinya "out of date" walaupun gaya bicaranya semasa menghujah tentang penguatkuasaan ini ada gaya "up to date" dan berinformasi.. isk..isk.. baca surat khabar lama ka?? sedangkan berita yang aku baca dari Bernama ni bertarikh : June 06, 2008 16:24 PM. Sian kat anak-anak menangis menjadi mangsa keadaan. Berhemah skit Pakcik Malik.. bukan setakat jalan raya aja..