Hari Lahir dan Detik-detik hidup

Hari ini 27 Jun 2008, genaplah umur saya 25 tahun. Semalam banyak saya terima mesej-mesej samada melalui kiriman SMS mahupun di Friendster. Sekali lagi soalan yang sama dilontarkan kepada saya. Ada orang bertanya, apakah azam sempena hari kelahiran saya?. apa yang ingin saya capai pada tahun ini, dan ada juga yang gatal bertanya, bila lagi ingin menamatkan zaman bujang ni?? Cukup sulit mahu menjawab. Selalu sahaja saya nyatakan bahawa saya tidak ada azam... padahal azam di dalam hati ini berjuta-juta.

Usia semuda saya ini (walau rasa cam dah semakin tua) tentu banyak perkara yang diidamkan dan diangan-angankan. Angan-angan materialistik, kebendaan(madiyyah), harta, pangkat, dan pasangan pilihan hati, adalah fitrah keinginan manusia secara semulajadi.

Saya juga tidak terlepas daripada memikirkan serta berangan-angan tentang perkara tersebut. Bohonglah saya kalau saya menafikan untuk memikirkan perkara fitrah tersebut. Cuma bagaimana kita menuruti apa yang diangan-angankan itu secara betul dan tidak menuruti hawa nafsu.

Kejayaan Pejuang Islam di usia Muda
Sultan Muhammad Al-Fatih dalam usia semuda saya atau lebih muda dari saya telah berjaya berjaya menawan kota Costantinople ( 857H/1453M), meruntuhkan kerajaan pemerintahan yang dibina Maharaja Costantine. Ideanya iaitu menukarkan daratan menjadi lautan sangat tidak boleh diterima akal, tetapi itulah hakikatnya dalam lipatan sejarah. Bayangkan bagaimana Muhammad Al-Fatih mampu mengarahkan ribuan armada tentera laut mengemudi armada kapal di daratan merentasi bukit-bukit, dan daratan-daratan sehingga keesokan paginya kapal-kapal tersebut berada dihadapan kubu-kubu pertahanan Byzantine .

Bagaimana tajamnya akal kurniaan Tuhan yang diberikan kepada Sultan Muhammad sehingga berjaya menembusi Pintu Edirne dan seterusnya memasakkan bendera kerajaan Othmaniyah di Costantinople. Kisah ini telah dikhabarkan oleh Rasulullah s.a.w lagi melalui sabda Baginda:

"Sesungguhnya Costantinople itu pasti akan dibuka. Sebaik-baik ketua adalah ketuanya, dan sebaik-baik tentera adalah tenteranya".

Seperti yang diungkapkan oleh Napoleon Bonaparte sebagai, "...kalaulah dunia ini sebuah negara, maka Costantinople inilah yang paling layak menjadi ibu negaranya!".

Seorang pemuda yang memerintah sebuah kerajaan Islam berjaya menakluki sebuah kota terulung dan kisahnya dikhabarkan oleh Baginda s.a.w. Alangkah hebatnya. (Saya sarankan agar kisah ini dibaca sendiri ).

Saya dalam proses membuat kajian ilmiah tentang profil Sultan Muhammad Al-Fatih bersama rakan-rakan Study Circle @ Usrah untuk tubuhkan 2 grup utama GPTD Kelantan iaitu Grup Al-Fatih dan Grup Malcom-X. Banyak input-input dari pembacaan-pembacaan, kuliah ilmu, perbincangan usrah dan daurah menyebabkan maklumat ini perlu disusun agar ia dapat dimanfaatkan.

Apa yang menggembirakan di Hari-hari Lalu..

Apa yang paling menggembirakan diri saya pada hari-hari lalu, ialah kehadiran generasi muda dikalangan mahasiswa-mahasiswa dan pelajar -pelajar yang begitu bersemangat menjadi aktivis dan sukarelawan terhadap kerja-kerja dakwah dan kesukarelaan dalam ABIM Kelantan.

Sejak ABIM diserahkan kepada pimpinan muda, saya dan teman-teman yang memimpin merasa sangat buntu diawalnya memikirkan siapa generasi muda yang akan membantu tugas-tugas yang amat berat ini. Pelbagai teori kami fikirkan... namun Rancangan Allah itu maha sempurna, tak terfikir dek akal kami bagaimana kehadiran mereka yang mendadak dan menyatakan kesukarelaan mereka membantu. Sehingga kami teman-teman pimpinan terfikir sekali lagi.. bagaimanakah caranya untuk menyantuni mereka sehingga mereka kekal istiqamah??

Di hari pertama Umur 25 Tahun

Hari kelahiran saya kali ini jatuh pada hari jumaat , hari ini ialah kelas pengajian saya yang terakhir di semester dua OUM, tamat sahaja kelas jam 6 petang, saya berhasrat untuk santai sekejap di Kota Bharu. Berjalan-jalan seorang diri , memberi peluang kat diri sendiri pula untuk santai sambil cuci-cuci mata kat bandar kejab. Dah lama tidak memberi peluang kepada diri sendiri untuk rehatkan diri , santai dan beri peluang untuk diri sendiri. Hasrat ke bandar memandangkan hari ini hari pertama Pameran PC- Fair kat Dewan PPK.




Layan....
Kekadang teringat beberapa hari yang lepas sebelum bergelar jejaka 25 tahun ni, banyak juga cabaran yang terpaksa dilalui. Bermula dengan laptop (bini yang disayangi) rosak monitor akibat bermandikan hujan, kunci kereta tertinggal kat switch dalam keadaan kereta terkunci dan cermin tertutup rapat ( berlaku masa waktu rehat OUM) , stress siapkan assingtment, berselisih faham dengan kawan.

Window Shopping... target tahun ni kena sunting
bini yang baru nih...

Ditambah pula di hari pertama saya berumur 25 tahun ini, saya diuji dengan kehilangan semua simpanan nombor telefon bimbit teman-teman. Saya mula perasan semua itu ketika saya cuba menghubungi adik lelaki untuk menanyakan persetujuan beliau untuk menukar pakej Streamyx di rumah kepada streamyx Combo ketika di PC-Fair itu. Lantas saya cuba menghubungi simpanan nombor yang lain itu tapi gagal. Terlintas di fikiran, di usia 25 tahun ini, nampaknya saya kena taaruf semulalah dengan kawan-kawan untuk saya simpan kesemua nombor-nombor mereka.

Semua itu seakan berlaku di saat kemuncak ketika melalui detik tibanya umur itu. Kekadang fikir , inilah ujian agaknya , nak test bila tuhan panjangkan umur sampai 25 tahun ni, bagaimana saya uruskan masalah ini mengikut yang dikehendaki-Nya.

Meraikan Ulang Tahun di Hotel Raudhah

Hebatkan... saya raikan ulang tahun kelahiran saya di hotel. Biasalah kan... sebenarnya saya ke Hotel Raudhah kerana di beri amanah oleh sahabat seperjuangan saya untuk menjadi rakan teknikal untuk Program Bijak Cemerlang HPA. Bagus juga, sekurang-kurangnya saya boleh refresh semula input-input tentang produk makanan dan perawatan Halal dari HPA ni disamping membantu kerja-kerja teknikal.

Tapi malam itu, tak kesempatan untuk tidur atas katil empuk di bilik hotel. Sebab saya hanya tidur beralaskan meja dan kerusi di dewan Kenanga Hotel Raudhah memandangkan nak selesaikan kerja-kerja editing untuk tayangan semasa program PBC. Rasanya hanya 10 minit sahaja saya lelapkan mata memandangkan dewan itu di waktu diniharinya, digunakan untuk aktiviti qiammullai peserta PBC. sekurang-kurangnya ambil syarat tidur 10 minit untuk turut serta bersama mereka.

Terima kasih Kepada yang Mengingati

Kesempatan ini juga , saya ingin berterima kasih kepada teman-teman yang mengingati detik kelahiran. Bermula dengan sahabat baik saya, Nurratul Iman yang mendahului orang lain untuk mengucapkan Salam Kelahiran melalui SMS pada jam 12:04:20 malam tadi. Di ikuti dengan Adjeng ( anak buah yang bagus) yang memberi kata semangat sempena detik kelahiran saya pada jam 6:10 pagi (bangun dari tidur waktu subuh terus wish saya ye!!)

Ada orang kampung abah saya yang pernah saya
jumpa di Kg kemahang , Tanah Merah , dia kata muka saya ni persis muka abah masa
muda... dia begitu nostalgik bila tengok muka saya...hehe... Kemahiran pengurusan organisasi
banyak saya belajar dari abah


Kepada family terutama abang sulong, Asrul Hisyam, yang menyampaikan ucapan ini paling awal sebab kirimannya pada 25 Jun 2008 ,2 :12 pm. Ibu dan ayah serta adik-adik yang dikasihi (Faiz, Ida, Aty, Emi dan Akim) . Nampaknya di tahun ini , kita dah semakin matang berinteraksi sebagai adik-beradik. Boleh berkongsi pendapat dan lain-lain. baru best jadi adik-beradik camni kan??

Kepada teman-teman Friendster yang mengirimkan ucapan dan kad digital melalui ruangan komen dan semua rakan-rakan yang menghantar e-card digital untuk menzahirkan ucapan ini. Ingatan teman-teman sebenarnya memuhasabahkan diri saya betapa umur semakin bertambah bermakna detik kematian itu semakin menghampiri kan?? Adakah saya sudah bersiap - sedia untuk melangkah ke sana kelak??