Kritik Filem : Ayat-Ayat Cinta

Semalam saya sempat bersama sifoo dan teman ikhwah saya , Zuhdi Ismail berbincang tentang hal-hal semasa tentang dunia IT penulisan islamik, buku fikrah dan perfileman Islam. Jarang kami boleh berjumpa disebabkan kesibukan masing-masing. Tak seperti semasa di alam kampus dulu, boleh jumpa walau kampus pengajian berbeza (saya di Poli KB dan Zuhdi Jaiputra).

Jadi kesempatan yang saya ada ialah dengan menziarahi beliau di rumahnya di Bandar Wakaf Che Yeh , Kota Bharu. Disamping itu juga, cara terbaik untuk memudahkan kami bertemu ialah dengan memikirkan apa aktiviti yang boleh kami manfaatkan seperti buat video klip islamik seperti yang pernah sabahat-sahabat lihat karya-karya kami di youtube seperti Salahuddin-Adakah Kau Lupa, projek klipvideo untuk Muadz (Baitul Maqdis) , dan insya Allah, kami akan buat projek bersama bertajuk Kasih antara Dua Jari , video klip untuk menghayati kasih kita kepada anak yatim nyanyian Muadz.


Banyak filem-filem baru yang islamik dapat dikongsi bersama beliau. Salah satu daripadanya ialah Filem yang diadaptasi dari Novel Islam karya Habiburrahman El-Shirazy iaitu Ayat-Ayat Cinta. Bagi saya, filem ini merupakan satu pendekatan baru dalam dunia seni Islam untuk menarik minat golongan muda untuk lebih memahami Islam. Satu percubaan yang baik daripada pengarah cuma kecewanya ialah 'roh' dari novel asal tulisan Pak Habiburrahman tidak ditonjolkan dengan baik.



Apa yang mengecewakan saya jalan ceritanya diubah dan tidak mengikut seperti apa yang pernah baca dari novel. Perjalanan novel seperti kisah Maria setelah berkahwin dengan Fahri dan ketika Maria menghadapi sakaratul maut. Sebelum Maria menghadapi saat-saat getir, dia sedang bermimpi untuk masuk ke Syurga dan mencari pintu-pintu ke Syurga. Hanya pintu Rahmah yang sedikit terbuka dan di sana Maria telah membaca Surah Mariam, Thaha dan seterusnya. Maria takut kena tidak dapat masuk ke Syurga dan akhirnya Mariam telah datang kepada Maria untuk mengakui keEsaan Allah dan menerima risalah Nabi Muhammad S.A.W.

Dan agak mengecewakan kerana mesej IKHLAS itu jelas hadir dari novelnya Pak Habiburrahman tetapi tidak ditonjolkan ke Filem kerana mesej IKHLAS itu sangat penting bagi menyatakan kepada audience tentang makna keikhlasan dalam mencurahkan cinta kepada Kekasih yang paling agung. Watak Fahri juga agak berbeza dari novel sebenar.

Walaupun saya rasa satu percubaan yang baik cuma nilai-nilai Islam itu harus diterapkan sepenuhnya agar orang tidak keliru dengan prinsip-prinsip Islam seperti mana yang dinyatakan Faisal Tehrani dalam novelnya "Bila Tuhan Berbicara".Satu ayat yang begitu memberikan makna mendalam semasa saya membaca novel ini iaitu :

“Aku masih mencium bau surga. Wanginya merasuk ke dalam sukma. Aku ingin masuk ke dalamnya. Di sana aku berjanji akan mempersiapkan segalanya dan menunggumu untuk bercinta. Memadu kasih dalam cahaya kesucian dan kerelaan Tuhan selama-lamanya.” Sambil terisak Aisha melantunkan ayat: Yaa ayyatuhan nafsul muthmainnah irji’ii ilaa Rabbiki raadhiyatan mardhiyyah Fadkhulii fii ‘ibaadii wadkhulii jannatii (Hai jiwa yang tenang Kembalilah kamu kepada Tuhanmu dengan hati puas lagi diridhai Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu Maka masuklah ke dalam surga-Ku.)

Disamping itu juga, jalan cerita yang disusun adakala agak "sensor" untuk di lihat semasa bersama keluarga. Seperti adegan ciuman semasa Fahri dan Aisya di malam pertama selepas diijabkabul.. bagi saya ia agak keterlaluan untuk dipaparkan di Malaysia khususnya di Kelantan.
Jadi kalau nak di tayangkan , kena buat "cut editing" untuk adegan ini.


Sosok Pak Habiburrahman

Saya tertarik dengan pendapat Zuhdi, bahawa kalau boleh Pak habiburrahman perlu tegas bila ada pengarah filem ingin mengadaptasikan karya novelnya untuk difilemkan. Sebagai contoh mempertahankan prinsip bahawa karyanya untuk dakwah dan bukan untuk hiburan semata-mata. jadi , mesej dalam karya itu semasa dilayar perak harus juga lebih diperjelaskan supaya boleh mendidik masyarakat yang menonton.

Seperti Moustapha Akkad, Pengarah Filem Lion Of The Desert (Umar Mokhtar) dan The Messengger (Sirah Nabi Muhammad S.A.W) , beliau tegas untuk mempertahankan jalan ceritanya dari diubah-ubah sehingga lari dari sejarah. Beliau sanggup untuk tidak mendapat sponsor dari penaja, jika sponsor itu meletakkan syarat sebagai tukaran dengan perubahan skrip jalan cerita yang akhirnya lari dari mesej yang ingin disampaikan. Sedihnya tokoh karya filem seperti Moustapha Akkad ini telah pun pergi buat selama-lamanya, meninggalkan karya terakhir yang belum sempat disiapkan iaitu Salahuddin Al-Ayubi. Pembikinan cerita ini hanyalah separuh jalan sahaja.

Saya pernah kecewa dengan karya Filem-filem sebelum ini, sebagai contoh cerita kartun animasi Malaysia bertajuk Saladin . Apa yang mengecewakan ialah karya cerita dalam animasi itu dalam menggambarkan watak Saladin tak ubah seperti watak Alladdin.. seakan-akan nak memperbodohkan watak tokoh Islam agung itu. Saya sebelum ini begitu teruja apabila sejarah Salahauddin Al-Ayubi akan dianimasikan.


Karyaku Saladin : Adakah Kau Lupa


Sampaikan trailer pengenalan Saladin ini, saya download dan saya gubah menjadi satu video klip "Adakah Kau Lupa" sebagai menggambarkan keterujaan saya. Saya terfikir kalau siri Saladin dapat ditayangkan, kanak-kanak muslim di abad ini akan mula mengubah selera dari meminati hero-hero khayalan barat seperti Superman, spiderman dan lain-lain kepada hero sebenar muslim. Malangnya, ia tidak seperti yang digambarkan.