Ibu, Ceritakan Aku Tentang Ikhwan Sejati

Seorang remaja pria bertanya pada ibunya:
Ibu, ceritakan padaku tentang ikhwan sejati…

Sang Ibu tersenyum dan menjawab…


Ikhwan Sejati bukanlah dilihat dari bahunya yang kekar, tetapi dari kasih sayangnya pada orang disekitarnya….





penaFatih : Hebat sungguh bila kita cuba menyayangi orang di semua peringkat,ke semuanya membantu ... bila aku menyayangi kanak-kanak, hasilnya aku melihat reaksi jujurnya menyayangi kita dengan membantu, walau kadangkala gurauannya sedikit ada kurang ajarnya.. tapi kitalah suri teladan untuk bantunya menjadi yang
terpelajar...



Menyayangi Yang lebih tua... reaksi jujurnya dia menyayangi kita dengan menyuluh mutiara ilmu hasil pengalamannya yang lalu.. walau adakalanya kita melihat egonya kerana dia lebih lama merasai masinnya garam.. abaikan sikap egonya seketika, tak semua yang tua itu ego.. kerana kita akan temui dikalangan mereka yang sangat menyantuni kita ..lebih-lebih lagi mereka yang tahu betapa pentingnya kita sebagai pewaris masa depan.. moga kita mampu menjadi penerus untuk mewarisi pengalamannya untuk kita dan generasi masa depan.

Aku dan pimpinan PKPIM bergambar bersama Puan Ainon Presiden PTS dan suaminya Prof Abdullah Hassan.


Ikhwan sejati bukanlah dilihat dari jumlah sahabat di sekitarnya,
tetapi dari sikap bersahabatnya pada generasi muda bangsa …

Menyayangi Generasi Muda... dengan membimbing mereka supaya mereka tahu apa perjuangan mereka, kita dapat melihat reaksi jujurnya Menghulurkan sejuta tangan untuk membina satu impian dan mereka bersama kita mara dengan sejuta langkah, serta nawaitu menuju satu arah... walau adakalanya kita melihat semangat darah mudanya kadangkala menggoyahkan strategi tersusun yang terbina... namun bimbinglah supaya hati mereka tidak mati kala semangatnya goyah... kerana mereka pewaris segala misi kita.


Ikhwan sejati bukanlah dilihat dari banyaknya akhwat yang memuja, tetapi komitmennya terhadap akhwat yang dicintainya…

Menyayangi akhawat permaisuri hati , setelah direstui hubungannya dengan melalui gerbang perkahwinan .. Dengan meletakkannya di satu sudut yang terindah di hati, reaksi jujurnya , andaikata kita hampir rebah , dialah yang menjadi tiang seri pengukuh untuk kita bangkit semula.... kerana tangan kanannya yang menghayun buaian, tangan kirinya mampu menggoncang dunia... walau adakalanya dia menghemburkan hempedu, tabahkanlah hati untuk menelannya.. kerana kepahitan yang ditelan, ia mencukupi fitrah kehidupan untuk merasai pelbagai rasa.... tidak hanya dengan kemanisan semata-mata...

moga ku temui permaisuri itu kelak....


Ikhwan sejati bukanlah dilihat dari suaranya yang lantang, tetapi dari kelembutannya mengatakan kebenaran…..

Sewaktu Memimpin Badan Pengawas di SM Teknik Bachok

Dahulunya, aku selalu bersikap kasar dengan teman-teman dan rakan sepengajian demi untuk menyatakan kebenaran... Apa yang salah ku tegur dengan kasar, mengeji di khalayak, berkomunikasi secara emosi... rupa-rupanya ia mengeruhkan keadaan, sahabat menerima secara terpaksa, mendengar kerana takut , bukan kerana hormat, ada yang lari dari pengaruh kepimpinan kerana keangkuhan diriku.. baru ku sedar rupanya ada petunjuk dari Lembaran Kitab Suci :


"Maka dengan sebab rahmat Allah kamu bersikap lembut terhadap mereka. Dan sekiranya kamu bersikap kasar lagi keras hati, pasti mereka lari dari sekelilingmu. Maka maafkanlah mereka, mintalah keampunan (dari Allah) untuk mereka, dan bermesyuaratlah dengan mereka di dalam urusan. Dan apabila kamu dah berazam, maka bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang bertawakkal (kepadanya)"
[Aali 'Imran, 3:159]


Dan dari itu aku mula sedar, aku mengubah persepsi ku terhadap orang di sekelilingku... dari memandang mereka pada sudut pandangan negatif kepada sudut pandang positif yang cuba mencari potensi dalam diri mereka....



Ikhwan sejati bukanlah dilihat dari bagaimana dia di hormati ditempat bekerja,
tetapi bagaimana dia dihormati didalam rumah…

ya.. inilah yang sedang bermain diminda ku, aku mampu menyelesaikan
apa jua cabaran bila bersama masyarakat, namun selalu sahaja aku tangguhkan
apa yang perlu ku ubah dalam carahidup keluarga ku... Dari itu ku belajar apa yang aku alami di luar, menyantuni adik-adikku untuk menjadi yang terbaik... kalau dahulu aku bersikap kasar dengan mereka.. kali ini biarlah aku yang menjadi teman baik mereka.. berkongsi masalah, menyelesaikan kerungsingan mereka samada dalam kerjaya atau masalah pergaulan mereka,....iya kadangkala aku masih dengan sikap lama, tapi aku yakin sikap itu akan semakin hilang bila diri ada cita-cita untuk lakukan Hijrah... biarlah kadangkala tindakan ku tidak difahami.. yang pasti ku yakin, tindakanku menyantuni mereka akan memberi seribu makna kepada diri mereka. Ku teringat akan satu ungkapan ayat yang pernah ku baca :



“Ketika aku muda dan imaginasiku bebas tanpa batasan, aku mengimpikan untuk mengubah dunia. Apabila aku semakin dewasa dan lebih bijak, aku menyedari bahawa dunia ini tidak akan berubah. Maka aku cuba melihat lebih dekat dan mengambil keputusan untuk mengubah hanya negaraku. Tetapi, ia juga, kelihatan tidak dapat digerakkan. Apabila aku memasuki penghujung usia, dalam satu cubaan terdesak, aku cuba mengubah hanya keluargaku, mereka yang hampir padaku. Namun tiada yang mahu berubah. Kini, ketika aku terbaring di atas katil menunggu ajal, aku tersedar: Kalaulah aku mengubah diriku dahulu, kemudian dengan menjadi contoh tauladan aku mengubah keluargaku. Daripada inspirasi dan galakkan mereka, aku mungkin bisa mampu untuk menjadikan negaraku lebih baik, dan siapa tahu, aku mungkin akan mengubah dunia.”


Ikhwan sejati bukanlah dilihat dari kerasnya pukulan,
tetapi dari sikap bijaknya memahami persoalan…

Fatih : Ku teringat akan hikmah bicara Dr Yusuf Al- Qardhawi dari sebuah penulisan,
"semangat zaman kita ini ialah semangat perancangan. kita tidak boleh membina segala gerakerja berdasarkan emosi dan lantunan perasaan yang dibawa..." -Dr.Yusof al-Qardhawi.

Iya.. kata-kata hikmah Dr yusuf Qardhawi itu seiring dengan apa yang berlaku kini. Cabaran dan dugaan di zaman ini memerlukan mentaliti yang hebat, daya motivasi yang tinggi serta perancangan yang sistematik.... Tidak lagi dengan emosi dan perasan semata-mata..... Dunia hari ini memerlukan satu kuasa dalam setiap diri manusianya yang dipanggil inner voice (suara hati) yang merupakan teknologi agung yang lahir dalam diri . Inner voice inilah yang aku selalu istilahkan sebagai spiritual Technology. Menyelesai kan masalah , mencerakinkan teknologi semasa yang disadur dengan suara hati yang digilap dari ibadah, akidah dan akhlak Islam.

Sebagai contoh, kehidupan aku kini, Aku merupakan hamba Allah yang dilahirkan dalam dunia teknologi, robotik , dan mempelajari logik pemikiran sains dalam dunia modenku... Aku amat berminat mengkaji tentang Kepintaran buatan @ Artificial Intelligence (AI). Kerana teknologi kepintaran ini (AI) amat memerlukan kekuatan dari dalam diri manusia apabila teknologi ini benar-benar direalisasikan. Dengan kata lain teknologi AI perlu seiring dengan teknologi Spiritual atau Spiritual Quotion (SQ)

Ada satu lagi pendapat tentang mesin-mesin sintetik yang dicipta pada masa akan datang dan berupaya mempunyai perasaan. Mesin-mesin ini yang berkeupayaan untuk berfikir secara logik, mampu menulis karya-karya simfoni dan mampu melukis lukisan-lukisan yang cantik. Namun keupayaan untuk memiliki jiwa masih lagi menjadi tanda tanya. Berkesinambungan pula setelah memiliki jiwa dan berkeinginan menganut fahaman-fahaman keagamaan? Apakah rasional di sebalik minda sintetik mempunyai kepercayaan beragama?

Perkembangan teknologi terkini amat memberangsangkan. Bayangkan novel I,Robot oleh Isaac Asimov telah ditulis pada tahun 1950-an. Dalam masa setengah abad sahaja, teknologi telah berkembang pesat. Apa yang pada tempoh 50 tahun lalu hanyalah ramalan-ramalan sains dan fiksyen-fiksyen sains telah pun menjadi realiti. Pada waktu itu, keupayaan komputer amat terbatas, sekarang perisian komputer mempunyai keupayaan berlipat kali ganda. Ambil contoh kemajuan penerokaan sains angkasa. Pembinaan satelit komunikasi, pembinaan stesen angkasa lepas, pembinaan kapal angkasa yang Boleh diguna berulang kali, pendaratan manusia di bulan, pendaratan kenderaan angkasa di planet Marikh, pengembaraan satelit-satelit angkasa yang semakin melepasi sistem suria kita dan keupayaan teleskop angkasa mengambil gambar-gambar alam kosmik yang teramat jauh. Semua itu hanyalah cereka-cereka sains oleh kebanyakan novel-novel fiksyen sains setengah abad lalu dan kini telah menjadi realiti.

Tapi aku yakin, perkembangan teknologi ini bermula hasil daripada penemuan saintis-saintis Islam di zaman silam yang suci terdidik dengan pendidikan Islam. Peranan pendidikan Islam ini telah terbukti berjaya melahirkan sebuah tamadun yang menguasai sepertiga dunia sehingga menjadi warisan pemodenan dunia hari ini. Kejayaan umat ini diakui oleh seorang tokoh usahawan Amerika Syarikat, Carleton S. Fiorina, CEO Hewlett-Packard Company pada 26 September 2001 di Minneapolis, Minnesota.


“Pada suatu masa dahulu, wujud suatu tamadun terbesar di dunia. Empayarnya begitu luas, bersambung-sambung dari lautan ke lautan, menjangkau kawasan utara, tropika dan padang pasir. Di bawah kuasanya terdapat ratusan juta manusia daripada pelbagai agama, bangsa dan keturunan. Salah satu bahasanya menjadi bahasa universal yang digunakan dalam percakapan sebahagian besar manusia pada hari ini. Tentera-tenteranya dianggotai oleh mausia daripada pelbagai latar belakang dan penaklukannya mendatangkan keamanan dan kemewahan yang tidak ada tolok bandingan. Perniagaan yang melibatkan tamadun ini berkembang dari Amerika Latin ke negara China dan antara kedua-duanya. Tamadun ini hidup subur digerakkan oleh ciptaan-ciptaan baru. Arkitek-arkiteknya mampu membina bangunan tinggi yang melawan graviti. Pakar-pakar matematiknya mencipta konsep algebra dan algoritma. Konsep-konsep ini membantu penciptaan komputer dan encryption pada hari ini. Tokoh-tokoh perubatannya menemui ubat-ubatan baru yang digunakan bagi merawat pelbagai penyakit. Tokoh-tokoh astronominya meneropong langit dan memberi nama kepada bintang-bintang dan sekali gus membuka jalan kepada penerokaan angkasa lepas. Penulis-penulisnya menulis ribuan cerita. Tamadun yang saya maksudkan ini sebenarnya adalah tamadun Islam, yang berkembang dari tahun 800 hingga 1600 Masihi.”



Masyarakat luar melihat pendidikan Islam yang dilaksanakan dahulu mampu membuat perubahan dan memberi sumbangan kepada seluruh dunia. yang menjadi kerungsingan aku ialah kehidupan mereka yang sebaya dan generasi muda hari ini, majoritinya ramai yang mempunyai sikap santai, mati rasa, dan tidak ingin berfikir perkara yang berat-berat.

ku harap generasi hari ini perlu mampu berfikir secara tuntas, moga tidak lagi berfikiran santai, sehingga tidak mahu terlibat dalam hal-hal masyarakat , kerana ingin mengisi kekosongan diri dengan hiburan semata-mata.. kadang-kadang hal ini berlaku dalam minda pelajar yang aktif dalam persatuan dan kepimpinan. Ku teringat akan hikmah pena Presiden PKPIM , saudara Hilmi Ramli dalam blognya :
Kalau tidak mahu fikir yang berat- berat pun tidak mengapa, tetapi fikirkan kenapa Allah mengatakan wahyu itu diturunkan dalam keadaan berat? Sampaikan unta Nabi Sallahu'alaihi Wassalam terduduk apabila wahyu sampai kepada Baginda. Wallahua'alam


Ikhwan sejati bukanlah dilihat dari dadanya yang bidang,
tetapi dari hati yang ada dibalik itu…

Siapa yang tidak inginkan mempunyai tubuh sasa yang kuat... tapi apa gunanya jika kekuatan tubuh sasa dan dada bidang itu, jika terlindung di sebalik itu hati yang penuh dengan keangkuhan, keegoan serta ketaksuban untuk melakukan kerosakan?

Alhamdulillah sejak aku kenali diri ini, aku cuba memberi pendapat tentang diri ku :
Disebalik kemeja ini, terdapat hati yang memiliki jiwa yang lesu, tapi sejak mengenali jiwa ini 25 tahun yang lalu, berkat dari anugerah yang dipinjamkan sementara oleh tuhan sepanjang hidup di muka bumi ini. Aku tidak dapat menipu untuk menyatakan bahawa jiwa yang lesu ini memiliki sifat yang mulia...


iaitu ia cuba untuk tidak menyakiti hati sesiapa pun. Sejak dari kecil, jiwa ini selalu berfikir untuk ceriakan orang lain. Jiwa ini selalu bertindak dari apa yang lahir dari dalam dan dizahirkan keluar untuk orang lain.Terima kasih Tuhan, kerana memberi keizinan untuk ku memiliki jiwa ini ....


Ikhwan sejati bukanlah dilihat dari jumlah besi berat yang dibebankan,
tetapi dari tabahnya dia menghadapi liku-liku kehidupan…

Masih ku ingat lembaran dari ayat suci Al- Quran :
"Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; "Kami telah beriman," sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji org2 yg sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui org2 yg benar dan sesungguhnya Dia
mengetahui org2 yg dusta."
-Surah Al-Ankabut ayat 2-3
Huh... sedih sungguh bila diri ditimpa dugaan.... kekadang jiwa lemah dan cepat terbuai perasaan memang cepat terpengaruh dengan godaan syaitan. Kadangkala bila berlaku kegagalan bertimpa-timpa, cepat betul aku melatah dan mengeluh..... Kekadang bila diri ditimpa keresahan tentang sesuatu yang diharap-harapkan tetapi tidak dapat , keluhan dalam diri semakin menjadi-jadi.

Bila diuji sebegitu, maka terujilah diri aku samaada aku ingat atau tidak formula bila sesorang itu dirundung keresahan dan ujian. Iya, kekadang memang aku terlupa akan formula dan nasihat mentor-mentor yang menjadi naqib dalam study circle sewaktu di almameter (kampus pengajian) dahulu. "Allah tidak akan membebani hambanya jikalau hambanya tak mampu".

Allah tidak membebankan seseorang melainkan dengan kesanggupannya”. (Al-Baqarah: 286)



Hari ini, aku bertekad untuk menguatkan kembali hati dan jiwa yang lemah dengan perasaan sendiri. Alhamdulillah tempohari bersama adik dan temanku sewaktu bertandang ke kedai buku Popular Bookstores yang berada di KBMall... Kedai buku ini menjadi tempak "lepak" aku dikala dahagakan ilmu-ilmu baru. Tekad niatku hari itu untuk mencari Novel yang diperkenalkan oleh rakan dakwahku dalam ABIM iaitu Amru Zulkifli (SU ABIM Kelantan) . Syabab Musafir Kasih.... penat mencari buku itu bersama temanku sehingga terpaksa ku memaksa jurujual di toko buku itu untuk mencarinya... Alhamdulillah , ku jumpa akhirnya...buku ini cukup memotivasikan aku untuk terus berada di jalan ini (dakwah)...Kisah penghidupan seorang anak yatim bernama Syabab yang akhirnya menjadi Daie Agung di alam Melayu. Buku ini cukup memotivasikan aku . Yang menyebabkan aku tidak dapat menukarkan harga dakwah itu dengan harga yang lain... kemewahan, pangkat, kekasih hati dan lain-lain....



motivasi dalam novel itu banyak membuka mata dan minda aku untuk terus berjuang dalam pelajaran dan kerjaya. Guru yang juga ibu angkatku ( Puan Jah) aku pernah mengingatkan aku bahawa ujian Allah ialah kifarah dosa yang pernah kita lakukan terdahulu. Terdiam apabila teringatnya kembali. Barulah aku sedar , sebagai hamba Allah tidak layak untuk mengeluh atas ujian dari Nya..


Beberapa formula dari lembaran AL-Quran yang cukup memotivasikan aku :

“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya jika kamu orang-orang yang beriman.” (Ali-Imran:139)


“Dan Dialah yang menciptakan tiap-tiap sesuatu iaitu menentukan keadaan makhluk itu dengan ketentuan takdir yang sempurna.”
(Al-Furqan:2)

“Kamu mungkin bencikan sesuatu, sedangkan Allah menjadikan padanya kebajikan yang banyak”
(An-Nisa’:19)

“Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan kamu mungkin sukakan sesuatu, sedangkan ia buruk kepada kamu. Dan hanya Allah yang mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.”
(Al-Baqarah:216)

“Dan Allah itu berkuasa terhadap urusanNya, tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahuinya”
(Yusuf:21)
“Adakah manusia itu menyangka bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesunguhnya Dia mengetahui orang-orang yang berdusta.”
(Al-Ankabut: 2 - 3)

"Janganlah bersedih kerana anda masih memiliki doa, anda masih boleh bersimpuh di depan pintu-pintu Tuhan Yang Maha Kuasa dan anda dapat memperoleh ketenangan di depan pintu-pintu Sang Raja Diraja. Anda juga masih memiliki waktu sepertiga akhir malam dan masih memiliki waktu untuk menjatuhkan dahi ke tanah (bersujud)"
-Dr 'Aidh al Qarni-


InsyaAllah, akanku cuba sedaya-upaya untuk tabah menerima ujian dari yang Maha Esa. di tepi keyboard komputerku, Buku La tahzan milik adik perempuanku Amirah yang dihadiahkan oelh abangku Asrul... Aku beleknya secara rambang... ..La Tahzan..Janganlah bersedih.....Dan berpandukan surah Yusuf di bawah, yakinlah dengan Allah, dan janganlah cepat berputus asa dengan masalah yang kita hadapi..Wallahualam..Hanya Allah yang Maha mengetahui segalanya..

…dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah . Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah melainkan kaum yang kafir” (Yusuf : 12)



Ikhwan Sejati bukanlah dilihat dari kerasnya membaca Al-Quran,
tetapi dari konsistennya dia menjalankan apa yang ia baca…

Aku bersyukur kerana arwah Paksu dan Maksu yang mempernah mengajarkan
aku membaca Muqaddam sehingga kepada 30 juzuk Al-Quran. mula bertatih membaca alif, ba dan ta sehingga aku mampu membaca huruf-huruf dalam Al-Quran itu secara berlagu. Tak lupa kepada Ustaz Halim dan Ustaz Ghazali yang membina jatidirku dengan Al-Quran semasa di Maahad Muhammadi.. Akan ku ingat kata-kata hikmah Ustaz Halim semasa aku ditakdir untuk bertukar ke SM Teknik Bachok atas permintaan ayahku... Beliau berkata, Faizul ada tugas yang besar di sana...

Terima kasih kepada Pak dik yang mengajarku Tarannum di Taman Raudhah SM Teknik Bachok ( Surau Muttaqin ku namakan Raudhah kerana terpengaruh dengan Filem Syukur-21).
Terima kasih kepada Ibu angkatku Puan Jah yang akhirnya memperkenalkan aku tentang dakwah praktikal ... pernah ku ingat bahuku di pukul dengan pembaris lantaran gagal menjawab soalan-soalan dalam pendidikan Islam... Dan akhirnya ibu angkatku itu merupakan perintis untuk ku lebih mengenali badan-badan dakwah seperti ABIM , JIM dan lain-lain. Beliau mengajarku kaedah berpidato ditambah dengan dalil Al-Quran yang menjadi pelengkap dalam pidato itu. Dengan semangat beliau aku dan rakan-rakanku konsisten menubuhkan Badar (Biro Agama dan Rohani) yang berpangkalan di Taman Raudhah sebagai tempat kami ber usrah.

Terima kasih kepada Ustaz Qamarussalam sewaktu aku berada di Politeknik Kota Bharu kerana
dakwah kreatif beliau semasa berusrah, berdaurah dan bertamrin. Buku -buku Dakwah seperti Jalan Dakwah, Antara semalam dan hari ini, Usul 20, Sirah dan lain-lain dapat ku hadam dengan lebih mudah berkat kreativiti ustaz menyampaikan dakwah.. Tak lupa Ummi Mailan yang selalu memberi perangsang supaya konsisten di Jalan Dakwah.. Beliau seorang Ibu yang kuat dan tabah mendepani cabaran demi mendepani dengan generasi muda seperti kami yang penuh dengan lagat , ego, leka , dan semangat muda...

dan akhirnya, Jalan Dakwah ini, aku memilih untuk konsisten dalam Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) dan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) untuk ku realisasikan secara optimis apa yang pernah ku pelajari dari kitab suci Al-Quran dalam kehidupan di Jalan ini.....

Badan Belia dan Pelajar islam ini mendidik aku menjadi aktivis yang mampu berada dalam pelbagai situasi tetapi masih mampu menjaga jatidiri.. bahkan didikan dalam organisasi ini membantu aku konsisten dalam serba serbi termasuk tugas dalam kerjaya ku sebagai Juruteknik Komputer. Aku berpegang kepada Definasi kecemerlangan ABIM yang menjadi pegangan ketika aku melaksanakan tanggungjawab :

Yang dikatakan petugas yang cemerlang bagi ABIM ialah petugas yang dapat memahami, menekuni dan menghayati budaya, visi dan misi ABIM serta institusi di mana beliau bertugas. Individu yang telah melakukan perubahan kearah peningkatan dan terus melakukan perubahan ke arah peningkatan diri dan institusi ialah individu yang dikatakan cemrlang walaupun peningkatan itu sedikit tetapi berterusan. Individu itu terus cemerlang selagi ia terus melakukan perubahan untuk peningkatan diri dan institusi

- Dipersetujui dalam Mesyuarat Exco ABIM Negeri Kelantan 5 januari 2002

setelah itu, ia kembali bertanya…
Siapakah yang dapat memenuhi kriteria seperti itu, Ibu ?

Sang Ibu memberinya buku dan berkata….
Pelajari tentang dia… ia pun mengambil buku itu
MUHAMMAD SAW, judul buku yang tertulis di buku itu...


Tidak dapat tidak lagi.. Bagindalah qudwah terbaik yang WAJIB untuk ku jadikan ikutan.. Bagindalah tokoh agung yang mempunyai pelbagai ciri-ciri menarik yang sewajarkan diikuti... Bagaimana baginda mampu mengasihi pelbagai golongan, kanak-kanak , belia dan dewasa serta yang tua, mengasihi kekasih hati setulus hati, mempu mendepani para sahabat yang mempunyai pelbagai ragam, mempunyai ilmu yang mendahului zaman.......Pena maya ini bakal berundur. Namun ingin ku kongsi satu hadis yang pernah membuatkan aku tersentak kerana kagum dengan kecintaan rasululullah kepada umatnya di zaman akan datang. Izinkan aku mengulang kembali kisah ini yang aku petik dari artikel terdahulu :

Kisah pertemuan baginda dengan sahabat-sahabatnya. Di saat mana Rasulullah mengatakan dia merindui saudara-saudaranya, suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.


Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.


"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangkan kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara:

"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."
Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda:
"Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah. Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, " Para nabi."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."
"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas
Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.
"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.


Begitulah nilaian Tuhan. Bukan jarak dan masa yang menjadi ukuran. Bukan bertemu wajah itu syarat untuk membuahkan cinta yang suci. Pengorbanan dan kesungguhan untuk mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya itu, diukur pada hati dan buktikan dengan kesungguhan beramal dengan Sunnahnya.


Adakah aku sebahagian dari umat yang bergelar Ikhwan di zaman moden ini yang disebut oleh rasulullah SAW 1400 tahun dahulu? Layakkah aku bergelar Ikhwan itu? Ya Allah.. moga dengan rahmatmu, moga-moga ditunjukkan jalan bagaimanakah caranya untuk ku memenuhi kriteria sebagai ikhwan yang dicintai oleh Rasulullah ...

berbekalkan ilmu komputer dan digital, aku cuba mengenali Jalan Dakwah menuju karakter Ikhwan... sebab ilmu komputer ini juga , aku menguasainya berkat daripada aku mengenali jalan Dakwah....melalui daurah dan tamrin... Ikhwahku Zuhdi Ismail (Ikatan Muslimin Malaysia-ISMA) adalah guru yang bertanggungjawab memperkenalkan aku tentang dunia teknologi yang disadur dengan maklumat-maklumat Islam ..

Fatih : bagi mereka yang membaca artikel ini, doakan agar aku konsisten di Jalan Ini....