Dunia Kini Semakin Hilang Ramai Ulama !!


18 Mac 2008, semasa mengikuti usrah gabungan WADAH di Sekretariat ABIM Kelantan, baba angkatku menerima SMS tentang berita Tok Guru Haji Lah Lubuk Tapah berada dalam keadaan yang amat tenat. Beliau pada malam itu telah diziarahi oleh Menteri Besar Kelantan yang turut menziarahi beliau.

Pagi ini khabar yang ku terima TUAN Guru Haji Abdullah Lubuk Tapah telah kembali ke Rahmatullah dalam usia 74 tahun. Allahyarham yang nama penuhnya Abdullah bin Abdul Rahman adalah antara guru Pondok yang masyhor dan juga bermulut masin yang dikunjungi oleh segenap lapisan masyarakat bukan saja dari Kelantan tetapi dari seluruh negara hingga dari Pattani.
Allahryarham meninggal jam 7:10 pagi ini dan akan dikebumikan di perkuburan Lubuk Tapah jam 5: 00 petang ini. Sepanjang hayatnya Allahyarham seorang yang istiqamah dan sering dipanggil untuk mengimani solat hajat dan majlis-majlis keagamaan. Allahyarham juga menjadi pakar rujuk dalam hal-hal mengenai agama.

Allahyraham juga antara Guru Pondok yang menjadi pakar rujuk Istana Kelantan.

Allahyarham kurang cergas dan dan tidak menghadiri majlis-mjalis setelah menghidapi sakit diserang angin ahmar sejak beberapa bulan lalu. Sejak itu Allahyarham hanya terlantar atas katil. Bagaimana pun Allahyarham tetap menerima kunjungan orang ramai yang berhajat dengan beliau khasnya untuk mendapatkan air penawar atau pun doa.

Allahyarham meninggalkan seorang balu Hajjah Kamariah Abdul Ghani dan lima orang anak dua lelaki dan tiga perempuan serta ribuan murid. Sama-sama kita berdoa semoga roh Allahyraham Haji Abdullah Lubuk Tapah ditempatkan bersama roh-roh insan yang beriman dan beramal soleh.


Nota Fatih :

Betapa besarnya nilaian ilmuwan dan ulama yang soleh di muka bumi ini. Namun sejak beberapa bulan ni , aku cuba mengamati bahawa di tahun ini kerapnya berita tantang kematian ulama di negara ku ini. Bermula dengan pemergian Almarhum bekas Mufti Selangor, Dr Ishak Baharom di ikuti dengan bekas mufti Pulau Pinang, Almarhum Syeikh Azmi yang pernah aku berkesempatan menadah ijazah Mathurat melalui sewaktu berkunjung ke ABIM Pusat di Anjung Rahmat. Turut bersama dalam majlis pengijazahan itu adalah Presiden ABIM, exco dan pimpinan seluruh negeri. Dan hari ini Tok Guru Haji lah Lubuk Tapah pula pergi buat selama-lamanya.



Seingat aku semasa menadah ijazah mathurat dengan Almarhum Syeikh Azmi:
Almarhum Syeikh Azmi (bekas Mufti Pulau Pinang dan juga bekas Ketua Hakim Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Labuan) sudi mengijazahkan al-Ma'thurat (memberikan silisilah bacaan al-Ma'thurat daripada Imam Hassan al-Banna sendiri). Turutannya begini; Imam Hassan al-Banna -> Syeikh Mustafa Masyhur -> Syeikh Azmi -> kami.


Alhamdulilah,kami diterangkan mengenai bacaan al-Ma'thurat dan juga apa yang diperhalusi Imam Hassan al-Banna. Dan peristiwa pada masa itu, pada malam majlis bersama al-marhum, sebenarnya aku sudah membeli tiket untuk balik ke Kelantan. Namun apabila mendengar maklumat tentang majlis pengijazahan Mathurat bersama Syeikh Azmi , aku lantas membatalkan hasratku untuk pulang pada malam itu. (Kiranya hangus tiket bas malam itu) Dan aku rasa berbaloi dengan keputusan aku untuk membatalkan hasratku untuk pulang ke Kelantan.

Setelah selesai majlis tersebut, aku rasakan hasratku untuk mengajak beberapa kawanku untuk menziarahi Al-Marhum supaya mereka sama-sama mendapat pengijazahan mathurat dari al-marhum. Namun ia hanya tinggal sebagai perancangan semata-mata tanpa disusuli tindakan.

Betul juga kata-kata Tn Hj Mohamad Azam Abdulrahman, Mantan Presiden ABIM bila membicarakan tentang kerja-kerja yang mendatangkan kebaikan. Kata beliau, Kalau ada perkara yang baik untuk dilakukan , maka lakukan tanpa perlu bertangguh lagi.

Akhirnya pemergian Syeikh Azmi sedikit sebanyak menimbulkan rasa kerugianku untuk tidak merapati ulama di masa hayatnya.


Ramai orang soleh meninggal dunia.

Terlintas segera di pemikiran , pemergian ulama-ulama secara mendadak ini mengingatkanku pada hadis yang menceritakan tentang tanda-tanda Hari kiamat :

"Tidak akan datang hari kiamat sehingga Allah mengambil orang2 yang baik& ahli agama di muka bumi, maka tiada yang tinggal padanya kecuali orang2 yang hina & buruk yang tidak mengetahui yang makruf dan tidak mengingkari kemungkaran"
- Riwayat Ahmad


seketika tergambar di fikiran , bagaimanakah keadaan dunia ini tanpa bimbingan ulama lebih-lebih lagi melihatkan keadaan semasa yang melibatkan isu remaja, masalah sosial dan politik yang sememangnya memerlukan butiran mutiara para ulama yang akan membimbing.... Dan kini dunia semakin hilang Ramai Ulama...

Al-Fatihah buat Ulama yang telah pergi....