UMMU SALAMAH | ‘Zaadur Raakib’ (Penyantun Musafir)

Ummu Salamah; nama yang tercatat dalam Sirah Nabawiyyah. Seseorang yang tidak sepatutnya kita tidak kenali. Ummu Salamah adalah merupakan anak kepada keluarga bangsawan. Ayahnya adalah merupakan pemimpin Bani Makhzum1 yang dihormati dan terkenal sebagai seorang yang amat pemurah. Dia digelar orang dengan gelaran ‘Zaadur Raakib’ (penyantun musafir) kerana setiap musafir yang datang ke rumahnya atau berjalan bersama-sama dengannya akan diberinya hadiah bekalan.

Suami Ummu Salamah, Abdullah bin Abdil Asad, adalah termasuk dalam kelompok Assabiquunal Awwalun2. Yang mendahuluinya masuk Islam adalah Abu Bakar As-Siddiq dan beberapa orang yang lain lagi. Ummu Salamah juga masuk Islam bersama-sama suaminya, oleh itu beliau juga tergolong dalam kelompok Assabiquunal Awwalun.

Nama Ummu Salamah yang sebenarnya adalah Hindun Binti Abi Umayya. Dia dipanggil ‘Ummu Salamah’ kerana anaknya bernama Salamah. Tetapi kemudiannya, gelaran itu lebih terkenal daripada namanya yang sebenar.


Apabila berita kemasukan Ummu Salamah dan suaminya ke dalam Islam telah tersebar, kaum Quraisy sangat marah dan melancarkan pelbagai bentuk serangan dan penderaan bagi memaksa mereka untuk kembali meninggalkan Islam. Tetapi seksaan-seksaan yang mereka terima tidak sekali-kali membuatkan mereka undur daripada Islam. Apabila penyeksaan yang dilakukan oleh kaum kafir Quraisy bertambah dahsyat, Rasulullah s.a.w. telah mengizinkan kaum muslimin untuk pergi berhijrah ke Habsyah (Etopia)3. Ummu Salamah dan suaminya adalah antara orang yang pertama pergi berhijrah, meninggalkan segala harta dan kemuliaan mereka di belakang demi mencari ketenangan dan keredhaan Allah semata-mata.

Setelah agak lama mereka berada di Habsyah, kerinduan terhadap tanah air mereka semakin lama semakin menebal. Sehingga pada suatu ketika, apabila mereka mendengar bahawa sudah semakin ramai orang yang memeluk agama Islam, termasuklah ‘Umar Al-Khattab, mereka berasa cukup gembira. Kemasukan orang seperti ‘Umar, dan juga Hamzah, pastinya dapat mengimbangi keganasan kaum kafir Quraisy. Lalu Ummu Salamah dan suaminya pulang ke Mekah. Tetapi, ternyata jangkaan mereka bahawa penyeksaan kaum kafir Quraisy sudah menurun, meleset.

Penyeksaan yang dilakukan oleh pihak kafir Quraisy malahan semakin dahsyat, semakin menguji ‘aqidah dan keimanan mereka. Namun, mereka tidak sekali-kali berganjak daripada Islam. Sehinggalah ke saat apabila Rasulullah memerintahkan untuk kaum muslimin berhijrah ke Madinah, Allah S.W.T. masih lagi memberikan ujian yang cukup hebat untuk Ummu Salamah dan Abu Salamah.

Apabila tiba waktu untuk berhijrah, Abu Salamah telah mempersiapkan seekor unta sebagai kenderaan. Ummu Salamah dan anak mereka dinaikkkan oleh Abu Salamah ke atas unta, dan beliau sendiri menuntun unta itu berjalan tanpa henti, tanpa menoleh lagi ke belakang. Apabila hampir sampai ke sempadan wilayah Mekah dan Madinah, beberapa orang dari Bani Makhzum menghalang mereka.

Mereka berkata: “Hai Abu Salamah! Anda boleh meninggalkan negeri ini. Tetapi isterimu jangan dibawa. Kami tidak dapat membiarkan anda membawanya ke mana-mana, kerana dia adalah dari suku kami.”


Lalu mereka pun menyerang Abu Salamah. Ummu Salamah dan anak mereka dirampas oleh kaum Bani Makhzum daripada Abu Salamah. Apabila Bani Asad, suku Abu Salamah mendengar tentang peristiwa itu, mereka pun menjadi marah.Mereka berkata, “Demi Allah! Kami tidak dapat membiarkan kamu membawa anak kecil itu (Salamah). Kamu boleh merampas ibunya daripada suaminya, tetapi anak kecil itu adalah anak cucu kami. Kerana itu kami lebih berhak daripada kalian.”

Anak Ummu Salamah telah direbutkan oleh kedua-dua suku ini, sehingga terkehel tangannya. Akhirnya keluarga Ummu Salamah terpisah. Suaminya terus ke Madinah untuk menyelamatkan agama dan dirinya. Anak mereka dirampas oleh Bani Asad, dan Ummu Salamah sendiri ditahan oleh Bani Makhzum. Ummu Salamah dijaga ketat di tempat Bani Makhzum, dan dirinya cukup menderita kerana terpisah daripada anak dan suami tercinta. Setiap hari, Ummu Salamah menangis mengenangkan nasibnya, serta anak dan suaminya.

Lebih kurang setahun lamanya, Ummu Salamah ditahan oleh kaumnya. Sehingga pada suatu hari salah seorang saudaranya kasihan melihatnya. Lalu saudaranya itu pergi kepada kaumnya dan berkata: “Sampai bilakah kalian akan memperlakukan perempuan seperti itu, tersiksa seorang diri? Kalian pisahkan dia daripada suami dan anaknya. Alangkah kejamnya kalian!”


Akhirnya mereka pun mula berlembut dan seterusnya mengizinkan Ummu Salamah untuk pergi mengikuti suaminya. Tetapi Ummu Salamah tidak dapat ke Madinah, kerana anaknya masih lagi ditahan di Mekah. Ummu Salamah tidak dapat makan dan minum, tidak dapat tidur, kerana mengenangkan nasib anaknya yang tidak diketahuinya. Akhirnya, beberapa orang yang kasihan dengan Ummu Salamah pergi berbincang dengan kaum Bani Asad, sehingga akhirnya mereka menyerahkan kembali Salamah kepada ibunya. Lalu si ibu pun berangkat dengan anaknya berdua ke Madinah.

Sampai di Madinah, keluarga Abu Salamah bersatu semula. Mereka berasa sangat bahagia dan gembira. Tetapi, ujian Allah terus datang kepada hamba-hamba-Nya yang cinta kepada-Nya. Rumahtangga Ummu Salamah teruji lagi. Perang Badar terjadi. Abu Salamah turut pergi berperang, dan beliau pulang dengan selamat membawa kejayaan di pihak umat Islam.

Selepas itu, terjadi pula perang Uhud. Abu Salamah turut pergi berperang. Kali ini, tentera Islam kalah4 dan Abu Salamah pulang dalam keadaan cedera. Beliau berusaha untuk mengubatinya cederanya itu tetapi tidak juga sembuh, malah menjadi semakin teruk. Sehingga sampai ke tahap Abu Salamah hanya mampu berbaring di tempat tidurnya, dijaga dan dirawat oleh Ummu Salamah.

Pada suatu hari ketika Ummu Salamah sedang mengubati suaminya, Abu Salamah berkata, “Ya Ummu Salamah! Saya pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Apabila seseorang ditimpa sesuatu musibah, hendaklah dia membaca istirja’5, dan berdoa: Wahai Allah, aku berserah diri kepada Engkau berhubung dengan musibah yang menimpaku ini. Wahai Allah! Gantikanlah aku baginya dengan yang lebih baik. Nescaya Allah akan memperkenankan.’” kata beliau.


Cukup lama Abu Salamah sakit di tempat tidurnya, sehingga pada suatu hari apabila Rasulullah s.a.w. datang melawat, Abu Salamah meninggal dunia. Rasulullah menutup mata sahabatnya itu dengan tangannya yang suci. Kemudian beliau memandang ke langit dan berdoa: “Wahai Allah! Ampunilah Abu Salamah. Angkatlah darjatnya setaraf dengan orang-orang muqarrabin. Gantikanlah dia bagi keluarga yang ditinggalkannya. Ampunilah kami dan dia, wahai Tuhan semesta alam. Lapangkan dan beri dia cahaya dalam kuburnya.”

Ummu Salamah teringat hadis yang diceritakan oleh suaminya daripada Rasulullah, lalu beliau pun membaca: “Wahai Allah! Saya berserah diri kepada Engkau berhubung dengan musibah yang menimpa diriku ini...”.


Tetapi Ummu Salamah tidak melanjutkan doanya kerana Ummu Salamah tertanya-tanya dalam dirinya: “Siapakah lagi yang lebih baik daripada Abu Salamah?” Sebab itu Ummu Salamah tidak meneruskan doanya.

Namun, janji Allah dan Rasul-Nya adalah janji yang pasti! Kaum muslimin seluruhnya menyedari hak Ummu Salamah terhadap mereka. Oleh sebab itu, apabila ‘iddah Ummu Salamah habis, Abu Bakar datang melamar Ummu Salamah, tetapi Ummu Salamah menolak. Kemudian, ‘Umar pula pergi melamar, juga ditolak. Sesudah itu, datanglah junjungan mulia, Rasulullah pergi melamar Ummu Salamah.

Ummu Salamah berkata: “Ya Rasulullah! Saya ada tiga masalah yang perlu diambil kira. Pertama, saya wanita yang kuat cemburu, kerana itu saya takut kalau-kalau Rasulullah menemui pada diri saya sesuatu yang tidak menyenangkan, sehingga saya berdosa dan disiksa Allah kerananya. Kedua, saya sudah tua, tidak mungkin untuk kahwin lagi. Ketiga, saya sudah mempunyai anak. Nah, bagaimana mungkin saya bersuami kembali?”


Jawab Rasulullah s.a.w.: “Soal cemburu yang engkau katakan pertama, insya’Allah saya doakan semoga Allah menghilangkannya daripadamu. Adapun soal usia, bukankah saya pernah mengahwini wanita yang lebih tua daripada usia saya? Soal ketiga, anak. Anakmu anak saya juga.”

Tidak lama selepas itu, Ummu Salamah pun berkahwin dengan Rasulullah s.a.w. Allah S.W.T. telah mengabulkan doa Rasulullah untuk menggantikan Abu Salamah dengan seorang yang lebih baik.

Semenjak hari itu, Ummu Salamah bukanlah ibu bagi Salamah seorang, tetapi juga ibu bagi seluruh orang yang beriman. Tergolonglah beliau sebagai salah seorang Ummul Mukminin6.

_______________________

Nota ringkas:


1 Bangsa Arab hidup dalam keadaan yang berpuak-puak mengikut suku kaum keturunan. Suku kaum keturunan ini berdasarkan kepada tempat asal nenek moyang mereka masing-masing. Kesukuan dan kepuakan bangsa Arab adalah sangat kuat dan mereka sangat menjaga nasab (keturunan). Boleh dikatakan setiap suku kaum adalah merupakan bangsa dan pemerintahan yang tersendiri. Suku Quraisy adalah merupakan suku bangsa Arab yang paling mulia, keturunan daripada Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. Bani Makhzum adalah merupakan salah satu keluarga dalam suku kaum Quraisy, sama seperti Bani Hasyim yang daripadanya lahir Rasulullah s.a.w.

2 Assabiquunal Awwalun ini adalah kelompok sahabat-sahabat yang mula-mula memeluk agama Islam, yakni pada ketika dakwah Rasulullah berada di peringkat rahsia. Mereka ini sering berkumpul di rumah Al-Arqam Bin Abi Al-Arqam untuk belajar tentang Islam daripada Rasulullah s.a.w.

3 Dalam sejarah Islam, peristiwa hijrah berlaku dua kali. Hijrah yang pertama hanya disertai oleh kaum muslimin yang bilangannya kecil. Dalam Fiqh Sirah, Said Ramadhan Al-Buti menyatakan jumlahnya lebih kurang 80 orang. Hijrah yang ini adalah hijrah yang pertama ke Habsyah. Rasulullah menyuruh para sahabat berhijrah ke Habsyah kerana Habsyah pada ketika itu berada di bawah pemerintahan Raja Najasyi yang adil. Raja Najasyi adalah penganut agama Nasrani yang tulen, agama yang dibawa oleh Nabi Isa a.s. Apabila kaum muslimin ini telah berhijrah ke Habsyah, pihak kafir Quraisy telah menghantar dua orang utusan sebagai wakil pemerintah Mekah untuk meminta Raja Najasyi menyerahkan kembali pelarian muslim yang berada di Habsyah. Namun, atas keadilannya, setelah mendengar hujah daripada kedua-dua belah pihak, Raja Najasyi mengakui kemuliaan ajaran Islam dan enggan menyerahkan orang-orang muslim tersebut kepada pihak kafir Quraisy.

4 Kekalahan tentera Islam dalam perang Uhud adalah kekalahan yang pertama dan terakhir. Kekalahan tersebut adalah disebabkan ada beberapa orang tentera Islam yang melanggar arahan yang telah diberikan kepada mereka. Akibatnya tentera Islam tewas. Rasulullah s.a.w. sendiri patah giginya dan pengsan seketika dalam perang ini. Walau bagaimanapun, peristiwa perang Uhud ini sebenarnya adalah merupakan satu tarbiyyah dan pengajaran daripada Allah S.W.T. Strategi perang ini telah diputuskan oleh mesyuarat, dan bukan oleh keputusan Rasulullah s.a.w. seorang diri. Apabila tewas, ramai yang beranggapan tidak perlu bermesyuarat lagi, cukuplah Rasulullah s.a.w. seorang membuat keputusan kerana keputusan mesyuarat mereka ternyata membawa kesan buruk kepada tentera Islam. Kemudian, turunlah ayat Al-Quran yang menyatakan tentang keutamaan mesyuarat. Oleh sebab itu Dr. Muhammad Uthman El-Muhammady dalam mengupas persoalan syura ini ada menulis bahawa apabila satu keputusan telah diputuskan oleh mesyuarat, sama ada natijah keputusan itu positif atau negatif, itulah keputusan yang terbaik. Selain daripada itu, keputusan yang telah dibuat harus dipatuhi dengan disiplin. Apabila tiada disiplin, maka umat akan tewas.

5 Kalimah istirja’ adalah: innalillahi wa inna ilaihi raaji’uun (sesungguhnya dari Allah kami datang, dan kepadaNya kami kembali.). Kalimah istirja’ ini disebut dalam Al-Quran, surah Al-Baqarah ayat 156. Hadis Rasulullah itu adalah merupakan penerangan kepada ayat ini.

6 Ummul Mukminin bermaksud ibu bagi orang-orang yang beriman. Gelaran ini adalah gelaran yang diberikan kepada isteri-isteri Rasulullah s.a.w. yang menunjukkan ketinggian darjat mereka.