Bingkisan Maulidur Rasul

Poster Filem Animasi : Muhammad Utusan Terakhir


Sahabat-sahabat maya sekalian,
Izinkan saya untuk menggunakan kalimah ‘sahabat’ ketika memanggil kalian, kalimah yang mengandungi jutaan makna tersirat. Kalimah tersebut digunakan oleh Rasulullah saw ketika memanggil sahabatnya meskipun Rasulullah kadangkala seperti guru untuk anak muridnya atau barangkali seperti seorang ayah untuk anaknya. Kalimah yang merealisasikan hadis, "Tidak beriman seseorang kamu hingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri." (Riwayat Bukhari & Muslim) .

Kalimah ‘sahabat’ ini membuatkan kaum Ansar sanggup menyerahkan hatta rumah mereka kepada Muhajirin. Kita berdoa moga Allah mentautkan hati kita semua untuk berada pada jalanNya dan mampu mengimani hadis ini.


Sahabat-sahabat maya sekalian,
Semalam ustaz mengatakan sekiranya kita mendengar doa atau kata-kata kebaikan, hendaklah kita mengaminkannya. Kita berdoa pada Allah agar pertemuan kita menerusi warkah-warkah maya ini menjadi tempat untuk kita menyiram dan membaja iman kita. Moga pertemuan ini juga mampu menyuburkan kembali qalbu-qalbu yang selama ini gersang. Kita doakan agar diri kita menjadi batu-bata terbaik yang akan mendirikan semula bangunan Islam yang pernah runtuh. Kita berdoa agar kita dapat meneruskan kembali dan mewarisi perjuangan Rasul-Rasul terdahulu.

Sahabat-sahabat sekalian,
Hari ini adalah hari ulangtahun kelahiran Rasulullah saw. Ustaz kata kita perlu ziarah Rasulullah saw tiap-tiap hari dan bukan pada hari ini sahaja. Barangkali ada di antara kita yang tertanya-tanya, apa yang dikatakan menziarahi Rasulullah saw tiap-tiap hari itu? Adakah dengan menziarahi baginda di Masjid Nabawi, Madinah? Kata ustaz, menziarahi Rasulullah saw tiap-tiap hari adalah dengan membaca sirah perjuangannya, mengamalkan sunnahNya, dan membaca Kalamullah yang menjadi penenang hatinya. Dan sememangnya semua itu menjadi motivasi buat kita.

Sahabat-sahabat sekalian,
Ustaz katakan lagi bahawa di zaman ini manusia menyebut Allah dan Rasulullah saw seperti menyebut air atau perkara lainnya. Seolah-olah tiada zuq atau roh ketika menyebut keduanya. Kata ustaz, untuk mengenali Rasulullah saw, kita perlu mengenali Allah Taala terlebih dahulu. Bagaimana untuk mengenali Allah? Salah satunya adalah dengan memahami sifatNya AlKhaliq, Maha Pencipta. Apa bezanya ciptaan Allah dengan ciptaan manusia? Allah mencipta sesuatu dari tiada kepada ada. Tetapi manusia, hanyalah mencipta sesuatu dari ada kepada ada yang lain. Manusia hanya tahu modify sahaja sebenarnya, bukannya mencipta. Manusia tidak akan sesekali mampu mencipta hatta sekepak nyamuk atau setitis darah. Tidak akan sesekali manusia mampu melakukannya.

Sahabat-sahabat sekalian,
Ayuh kita renungi tanda-tanda kekuasaan Allah.

Kemudian akan Kami tunjukkan tanda-tanda (kekuasaan) Kami pada alam dan pada diri mereka, sampai jelas bagi mereka bahawa ini (AlQuran) adalah kebenaran (Surah AlFussilat:53)


Tanda-tanda kekuasaan Allah bermula dari sekecil-kecil ciptaan sehingga sebesar-besarnya. Cuba renungi seketika akan makhluk-makhluk Allah yang hanya mampu dilihat oleh mikroskop elektron sahaja. Kemudian renungi hakikat ciptaan bumi ini. Allah mengetahui setiap daun yang gugur dan segala perilaku hambaNya. Dan kemudian fikirkan seketika tentang galaksi Bima Sakti. Hayati juga ciptaanNya yang lebih luas iaitu Lohong Hitam misalnya. Cuba bayangkan bahawa kita di angkasa dan sedang melihat semua ciptaan ini. Di mana hakikatnya kita? Terlalu kerdil untuk dibandingkan hatta dengan bumi, apatah lagi dengan galaksi Bima Sakti dan yang lainnya. Tanyakan kembali dalam diri sendiri, adakah semua ini tercipta dengan sendiri. Tidak, bukan? Dialah Allah yang mencipta semua ini. Mampukah kita untuk bongkak pada Allah setelah melihat kekuasaanNya? Tidak sesekali. Dan Allah yang memiliki semua kekuasaan inilah yang telah mengutuskan Rasulullah saw.


Sahabat-sahabat sekalian,
Rasulullah saw adalah qudwah hasanah, sebaik-baik contoh ikutan kerana akhlaqnya adalah AlQuran. Bagaimana caranya untuk mengadaptasi qudwah hasanah ini dalam kehidupan kita sehari-hari? Jawapan ustaz mudah sahaja, iaitu dengan mengamalkan sunnahnya. Kata ustaz lagi, jawapan itu sungguh mudah tetapi begitu sukar untuk mempraktikkannya. Apakah itu sunnah? Terlalu banyak sunnah baginda seperti berserban, bercelak, berjubah dan lainnya. Tapi apakah dia sunnah yang paling besar yang baginda lakukan? Sunnah terbesar tersebut adalah DAKWAH.

Kita imbas kembali saat penurunan wahyu kedua surah AlMudathir. Di saat Rasulullah saw begitu bimbang dan ketakutan bertemu Jibril, Rasulullah pulang ke rumah dan meminta isterinya Khadijah menyelimutkannya. Cuba bayangkan kalau kita sendiri bertemu dengan satu makhluk yang tidak pernah kita temui sebelumnya. Bagaimana perasaannya? Takut bukan? Dan itulah yang dirasakan oleh Rasulullah saw. Tetapi kemudian turunlah ayat dari surah AlMudathir. Ya Ayyuhal Mudathir. Qum faanzir...Wahai orang yang berselimut, bangunlah dan berilah peringatan.. . Allah guna dalam ayat kedua tersebut fa (faanzir).


Apa beza ‘fa’ dan ‘saufa’? Macam kitalah kan,dah makan dan lepas tu nak basuh tangan. Tapi kita sempat nak jalan berlenggang nak pergi dapur untuk basuh tangan. Itulah ’saufa’ , ada sela masa di antara perbuatan kita. Tapi dalam ayat ini Allah guna fa yang membawa maksud bangun terus dan beri peringatan. Apa yang Rasulullah lakukan? Rasulullah saw bangun dan membuka selimutnya terus dan mengatakan pada Saidatina Khadijah, ’ Telah berlalu masa tidurku’.
Madinah pada pandangan satelit

Sejak saat itu Rasulullah saw terus berdakwah sehingga akhir hayatnya. Dan inilah sunnahNya yang paling besar. Tanyakan pada diri kita, kita dah ’qum faanzir’ atau belum? Kita dah berikan peringatan atau belum? Sama-sama kita memperbaiki diri. Kerana usaha dakwah Rasulullah saw, kita dapat merasai kelazatan nikmat iman dan islam. Dan kita mengenali nikmat yang paling besar iaitu nikmat mengenal pencipta kita, Rabb sekalian alam iaitu Allah.

Kenapa agaknya Rasulullah saw berdakwah? Sebab kasih dan sayangnya pada kita. Tidak pernah sesekali beliau berasa tenang apabila melihat ummahnya. Rasulullah bersedih melihat kehancuran dan kesesatan kaumnya kerana baginda tahu semua itu mampu membawa kaumnya kepada kemurkaan Allah. Allah gambarkan perasaan baginda ini dalam Surah AlKahfi ayat 6. ”Maka (Apakah) barangkali kamu akan membunuh dirimu kerana bersedih hati sesudah mereka berpaling, sekiranya mereka tidak beriman dengan keterangan ini (AlQuran)”. Kesedihan inilah juga yang perlu ada dalam hati kita melihat ummah ini. Dan kerana semua inilah kita juga berjanji untuk memikul tugas dakwah ini.

Sahabat-sahabat sekalian,
Pena maya ini bakal berundur. Namun izinkan saya mengulang kembali kisah ini.

Kisah pertemuan baginda dengan sahabat-sahabatnya. Di saat mana Rasulullah mengatakan dia merindui saudara-saudaranya, suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.


Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? " Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah.

"Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangka n kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum. Kemudian baginda bersuara:

"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."


Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda:
"Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah. Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi, " Para nabi."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."
"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas
Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.
"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.


Begitulah nilaian Tuhan. Bukan jarak dan masa yang menjadi ukuran. Bukan bertemu wajah itu syarat untuk membuahkan cinta yang suci. Pengorbanan dan kesungguhan untuk mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya itu, diukur pada hati dan buktikan dengan kesungguhan beramal dengan Sunnahnya.