1 Muharram 1430H : Semesta Tetap Bertasbih

12:00 pm bersamaan dengan permulaan hari permulaan Tarikh Hijrah 1430H, entah mengapa mata saya cukup segar untuk bersengkang mata sehingga ke pagi ini, sepanjang pagi pertama 1 Hijrah 1430H , seluruh pancaindera saya seakan bersedia untuk saya berbicara dan bermuhasabah seorang diri tentang apa yang terbaik saya mulakan untuk tahun baru Hijrah ini. Semalaman saya cuba merungkai kembali apa yang berlaku sepanjang perjalanan saya pada tahun yang lalu 1429H /2008 M.

Saya yakin tahun 1429H/2008M yang lalu adalah tahun yang sedikit menguji berbanding tahun-tahun yang lalu. Ujian dalam kerjaya, ujian ketika melalui titik gelap yang sememangnya akan saya lalui, ujian perasaan, bahkan ujian diberi tanggungjawab yang besar kepada saya untuk laksanakan.Ujian untuk mengawal diri apabila tiba-tiba diri "ghaib" seketika dari pandangan teman-teman di pengkalan. Dan saya yakin ujian-ujian yang saya tempuhi merupakan sebuah persiapan untuk saya lalui ujian yang lebih besar di masa depan.Namun malam ini merupakan malam yang perlu saya mempersiapkan pendirian untuk Misi 1430H. "Mission Statement" yang lebih jelas dan lebih mantap berbanding tahun yang berlalu. Adakah mampu untuk saya mempersiapkan diri dari segi komitmen untuk menjadi lebih kuat mendepani ujian yang mungkin lebih besar dari tahun lepas.

Sanggupkah saya untuk tegap berdiri untuk berani berubah melakukan Kaizen terhadap diri yang sememangnya mempunyai "sikap kebiasaan" saya sebagai manusia yang melambatkan proses untuk mencapai misi. Sejauh mana keimanan yang diuji ketulenannya mampu untuk saya susur di perjalanan misi sebagai benteng utama mendepani cabaran.

Dan yang paling besar , misi Hijrah menuntut keyakinan yang besar supaya meyakini bahawa Allah bersama orang yang Ikhlas dalam menegakkan Misi apatah lagi misi ini adalah misi menegakkan agama Allah. Soalan ini saya lemparkan dan disambut oleh saya sendiri untuk menjawabnya. Apa yang pasti untuk mencapai misi ini, tidak ada jalan pintas untuk mencapai kejayaan, maka perlu rintis usaha kearah itu.

MISTERI KEHILANGAN FATIH : UZLAH ATAU FUTUR????

Malam satu Hijrah 1430H, saya masih koreksi diri, menghitung kesilapan lalu untuk di mansuh, menganalisa kemampuan diri untuk dihitung kekuatannya, dan menyusun keutamaan yang perlu untuk tugas-tugas bermulanya 1 Hijrah 1430H. Saya akur, banyak yang dirancang ditahun lalu hanya sedikit menampakkan kesan... program ABIM, GPTD Kelantan, PPIK , Outreach ABIM ...tidak kurang pula misi-misi 1429H lalu tidak terlalu berkesan kerana saya beralasan sibuk dengan diri sendiri... iya! berkenaan soal kerjaya,keluarga, akademik dan tidak kurang juga soal hati sebermulanya usia awal 25 tahun yang menuntut persiapan untuk menempuhi gaya hidup yang lebih dewasa.




Saya pohon maaf kepada sahabat -sahabat yang mencari, terasa hati, rungsing, marah, mempunyai harapan tinggi semasa "kehilangan" saya dalam tempoh hampir empat bulan terakhir ini. Saya hanya mampu menyata dan memohon kemaafan dalam coretan ini kerana saya yakin, mesej ini akan terus sampai kepada yang ingin tahu. Namun saya yakin, kehilangan saya bukanlah akan mengurangkan kualiti misi atau adanya saya akan memperkasakan misi.

Bahkan lagi kalau dikira sebagai hamba Allah, kita buat atau tidak tugas yang diperintahkan oleh Allah , tidak akan mengurangkan atau menambahkan kemuliaan Allah dan yang paling rugi adalah diri kita sendiri.


Atas kesedaran itu , 4 bulan saya menghilang saya habiskan untuk beruzlah, mengembara, membina kualiti diri kerana sewaktu saya alami ujian berat ini saya sedaya upaya berusaha dan selalu berdoa semoga kesudahan dari ujian ini tidak menemui detik Futur (Gelincir).

Kehilangan saya selama 4 bulan ini, saya rasa saya tidak kearah futur (tergelincir).... mungkin istilah yang sesuai ialah Uzlah...sebagaimana yang disarankan oleh Imam Ghazali dalam kitab Ihya Ulumuddin. Uzlah yang memberi peluang saya mengembara ke Selangor, Negeri Sembilan dan Johor untuk mengkuti kursus kerjaya disamping menziarahi teman-teman aktivis dan senior ABIM.

Uzlah ini memberi peluang untuk saya menemui teman-teman di USM mengikuti Kursus Perbandingan Agama di bawah Bro. Shah Kirit. Uzlah yang memberi peluang untuk saya "recharge" dalam program ESQ 165 sebagai ATS. Semua yang saya lalui dalam tempoh uzlah itu memberi peluang untuk saya menemui pengakhiran yang baik iaitu kembali ke pengkalan. Bukan Futur atau tergelincir terus di bawa masalah peribadi. Saya sudah membuat persiapan itu... iaitu mempersiapkan diri dikala melalui krisis diri sendiri.

Alhamdulillah penghujung tahun 1429H, saya menghabiskan masa bersama aktivis -aktivis sepenuh masa dalam bidang dakwah kesukarelaan. Bersama Kamil (Jundumay) yang baru pulang dari Korea untuk melakukan sesuatu kepada masyarakat. Bersama teman-teman GPTD pusat yang tidak dapat di tandingi.... bersama abg Juifitri (Pengerusi GPTD) dan Najmuddin Penyelaras Projek GPTD (Najem GPTD Turki)yang mempunyai tanggungjawab mengendalikan program di Kelantan , begitu juga saya terlibat untuk mengisi slot ceramah dalam program-program Briged Bakti. Alhamdulillah sembuh juga dari masalah diri.... Setelah sembuh dari "Kehilangan"ini, kekadang apabila mengimbas kembali sewaktu saya menghilang, terasa juga satu kerugian apabila memikirkan diri saya , apabila muncul sahaja masalah diri, terus diri menguncup ....menghilang dari persada dakwah di lapangan. Rasa terkesan apabila membaca tulisan Tuan Haji Azam, Mantan Presiden ABIM di dalam blognya apabila beliau berkongsi mengenai kesungguhan PENGORBANAN AHLI GEREJA MORMON YANG SANGAT TINGGI! MEMANG CEMBURU DI BUATNYA!


Bila merujuk kepada semangat sukarelawan Muslim, menurut Haji Azam, " Semangat korban yang semakin merosot. Ada di kalangan ahli yang hanya mementingkan diri sendiri. Berbangga menjadi ahli,tapi nak berkorban wang, tenaga, masa terlalu berkira. Mereka hanya datang menolong bila semua kerja peribadi, kerjaya dan keluarga dah beres, barulah nak membantu. Kerja peribadi, kerjaya dan keluarga langsung tak boleh dikorbankan. Hanya sisa–sisa masa, wang dan tenaga untuk dakwah. Contohnya, kehadiran usrah yang hanya seminggu sekali bergantung kalau tiada urusan keluarga atau kerjaya. Kalau ada sikit saja urusan keluarga atau kerjaya kehadiran usrah akan dikorbankan. Macamana dakwah nak berkembang! Dalam bahasa Inggeris, maaf ya, if you give peanuts, you get monkey.

Menariknya, bila memberi komen mengenai perjuangan ABIM, mereka yang paling banyak bersuara seolah-olah mereka lah yang bertungkus lumus selama ini. Yang benar-benar berkorban, jarang yang bercakap kerana tahu terlalu banyak kerja yang nak dibuat."
Semoga di tahun baru hijrah ini, gerak langkah saya dalam kerja-kerja sukarelawan dakwah dan Islah ini akan konsisten dan istiqamah dan tidak terhenti dan tidak mengundur . Sebagaimana tawaf alam semesta yang istiqamah, tidak terhenti dan tidak mengundur melaksanakan ibadah kepada Allah.

Semesta Tetap Bertasbih


Apa yang pasti.... detik 1Hijrah 1430H, ketika saya masih bermuhasabah dan menulis, Makhluk Allah di alam ini tetap melakukan ibadah mengikut kaedah masing-masing, alam semesta yang tawaf mengikut paksinya, gunung-gunung, pokok-pokok, dan haiwan kekal beribadah mematuhi perintah Allah memngikut sunnatullah masing-masing. Bahkan sebahagian besar dari manusia sedang melaksanakan ibadah.. Moga tergolong dari golongan besar yang beribadah dan dihindar dari menjadi golongan manusia yang banyak pula di antara manusia yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Haj 22: 18 ,

"Tidakkah Engkau mengetahui Bahawa Segala Yang ada di langit dan di bumi tunduk sujud kepada Allah dan (di antaranya termasuklah) matahari dan bulan, dan bintang-bintang, dan gunung-ganang, dan pokok-pokok kayu, dan binatang-binatang, serta sebahagian besar dari manusia? dan banyak pula (di antara manusia) Yang berhak ditimpa azab (disebabkan kekufurannya dan maksiatnya); dan (ingatlah) sesiapa Yang dihinakan oleh Allah maka ia tidak akan beroleh sesiapapun Yang dapat memuliakannya. Sesungguhnya Allah tetap melakukan apa Yang dirancangkanNya."
(Al-Hajj 22:18)


p/s : Semasa bermuhasabah, hati terasa terkesan apabila mendengar nasyid bertajuk "Semesta Bertasbih" nyanyian Opick yang akhirnya mengundang gerakan suara hati untuk berkarya sebuah video editing mengenai lagu itu.. Cukup tersentuh....



iLuvislam.com Top Blog