Eidul Mubarrak 1429H

Hari terakhir Ramadhan , saya berkesempatan untuk memenuhi ajakan abah zahidin untuk berbuka di rumahnya. Hai.. maklumlah kesibukan menerima undangan dan aktiviti sepanjang Ramadhan, sampaikan ajakan guru sendiri pun hanya sempat dipenuhi di hari terakhir ramadhan. Selepas berbuka dan menunaikan solat maghrib, kami sama-sama solat hajat moga-moga Allah menerima ibadah sebulan yang dilakukan di bulan Ramadhan.

Pagi Syawal
Pagi-pagi lagi saya dan ibu saya bergegas ke kampung mek (nenek) saya di Kg Changgung untuk mengambil menu rumah terbuka kami iaitu nasi himpit dan kuah kacang. Alang-alang singgah di rumah makcik minah (rumah yang kami tempah nasi himpit), sempat juga menjamah hidangan nasi dagang di rumahnya..hehe..

Selepas menunaikan Solat Aidilfitri, seperti biasa acara tahunan setiap kali raya ialah , sesi bersalaman dengan keluarga terutamanya ma dan abah dan diakhiri dengan sesi bergambar. Tapi kali ini, hanya abang saya sahaja yang tidak menyambut disini memandang beliau menyambut di rumah mertuanya kerana isterinya sarat mengandung anak kedua. nampaknya kali ini , saya pula yang menjadi Ketua bagi pihak adik-adik.

Aidilfitri dan Topik Sejarah Tokoh Islam

Tengaharinya, kami sekerluarga beraya di rumah keluarga pihak ibu di Kampung Jejulok, Banggu. Kebetulan semuanya berkumpul disini. Yang paling menarik, perjumpaan hari raya di rumah ibu saudara ini, antara topik hangat dalam perbincangan semasa pertemuan aidilfitri ini, ialah bincang tentang sejarah Islam. Kebetulan sepupu sebelah ibu ini memang mahir dan banyak pembacaan tentang sejarah Islam. Perbincangan bermula apabila salah seorang sepupu saya terlihat buku yang baru sahaja saya beli popular Book Store yang saya bawa bersama iaitu, Sultan Muhammad Al-Fatih, Penakluk Konstantinople. Akhirnya, sepanjang perjumpaan hari raya itu, topik Tokoh Islam yang banyak dibicarakan.. Elok juga.. satu kelainan dalam pertemuan idulfitri.

Kesempatan ini saya dan keluarga mengucapkan Selamat Hari Raya Maaf Zahir Batin kepada semua..

[ Klik untuk Lihat Gambar Hari Raya ]




Akademi Ramadhan dan Ukhwah

Alhamdulillah.. berada di bulan Ramadhan, bukan sahaja menjanjikan limpahan dan rahmat yang terbuka luas oleh Allah terhadap hambanya agar mensucikan dan mentarbiyyahkan diri dalam akademi Ramadhan yang hadirnya sebulan dalam tempoh setahun. Malah juga menjadi pemupuk kepada ukhwah yang sekian lama terjalin. Alhamdulillah, di akademi Ramadhan ini saya bertemu ramai sahabat-sahabat yang sudah lama tidak bertemu.

Pertemuan-pertemuan dalam majlis berbuka yang dianjurkan menjadi medan untuk kami menghangatkan kembali rasa cinta sahabat yang dijalinkan sejak di kampus mahupun dalam kerjaya. Majlis berbuka dengan saudara kita anjuran Islamic Outreach ABIM Kelantan dan MACMA (Persatuan Cina Muslim Malaysia) cawangan Kelantan, berbuka puasa dengan teman-teman sejawat dalam Juruteknik Komputer, dan lain-lain majlis menjadi aturcara rasmi di bulan Ramadhan ini.


Tidak lupa saya turut berkesempatan bertemu dengan rakan-rakan pelajar di Politeknik Mara Kota Bharu,yang komited menjayakan Program motivasi 3 S buat pelajar -pelajar sekitar Kota Bharu di Kampus Polytech Mara. Moga-moga kesungguhan mereka yang prihatin terhadap pelajar-pelajar mampu membuka hati mereka untuk terus menyumbang kepada masyarakat.

Kesempatan Qiam bersama Dr Badrul Amin

Sejak saya kecil, Alunan zikir munajat Ustaz Dr Badrul Amin sering menjadi penghibur hati, penenang jiwa menjadi perantara untuk saya mengingati tuhan yang agung. Seingat saya, saya boleh menghafal zikir munajat versi Dr Badrul Amin sejak saya di darjah 3. Bahkan saya sering mengetuai pembacaan zikir munajat di sekolah kerana sudah serasi dengan bacaan zikir mengikut melodi Dr Badrul Amin.


Namun 25 Ramadhan menjadi kesempatan saya untuk berbuka puasa, solat maghrib, isyak dan tarawikh dan mendengar tazkirah beliau. Malah di waktu diniharinya berpeluang untuk sama-sama sujud bersolat tasbih yang diimamkan oleh beliau. Kebetulan beliau dijemput oleh jawatankuasa Pusat Islam Masjid Al-Hikmah (ABIM Kelantan) untuk berbuka bersama beliau di kompleks masjid Al-hikmah . Dr Badrul Amin merupakan mantan Ketua Exco Dakwah ABIM Pusat. Saya menganggap beliau sebagai guru yang melatih saya mengalunkan zikir munajat yang terbaik pernah saya hayati dan alunkan. Bayangkan sebelum ini anda hanya mendengar suaranya mengalunkan zikir munajat di kaset atau mp3, tiba-tiba diberi kesempatan untuk menghayatinya secara langsung (Live)...

nota : walaupun beliau kini mengambil jalan politik yang cukup berbeza dengan pendirian saya yang lebih bersikap non-partisan , tapi saya memilih mendampingi beliau kerana beliau antara guru terbaik yang mampu menjernihkan hati saya yang selalu lalai semasa saya menjalani detik-detik hidup.

Pemilihan Akhir Akademi Ramadhan

Sejak di awal Ramadhan, berjuta-juta muslim berebut menyertai bintang akademi Ramadhan yang berlangsung selama sebulan. Sedikit demi sedikit , pemilihan secara saringan berlaku, untuk menentukan siapa juara antara juara yang akan diangkat menjadi finalis Akademi Ramadhan. Penyingkiran berlaku bukan melalui SMS ataupun juri, namun penyingkiran diri bergantung kepada sejauh mana muslim yang menyertai konsisten dengan atitutude mereka mengendalikan diri (self Controlling) di akademi ini.

Lihat sahaja, jemaah di masjid semakin berkurangan, bahkan di akhir-akhir bulan penentu akademi, terdengar berita-berita pelik - jelik tetapi benar berlaku kepada generasi muda muslim. Di muka depan Harian Metro melaporkan segelintir muda-mudi di ibu kota sanggup mencemar puasa sepanjang hari dengan menjadikan minuman arak sebgai sajian mereka berbuka. itu sebahagian yang terpampang di dada akhbar, belum lagi kita mendengar realiti-realiti lain yang berlaku secara live di kalangan muda mudi hari ini.

Moga-moga kita terpilih dari kalangan finalis-finalis akademi Ramadhan dan kita akan meraikan konvokesyennya di aidilfitri secara penuh ketaatan dan syukur.