Sajak Erti Persahabatan | Sahabat Bukan Kawan


Tersentuh saya bila membaca sajak luahan hati sahabat muslim saya dari kampus kesihatan USM Kubang kerian, JackNaim. Sajak erti persahabatan karya luahan hati beliau begitu menyentuh jiwa saya yang menghayati. Mungkin pembaca yang lain boleh cuba untuk turut sama menghayati karya beliau di bawah :


Erti Persahabatan

Bagaimana bisa ku nilai persahabatan?
tak terjangkau tanganku untuk menggapainya,
mindaku juga sering keliru memikirkannya,
begitu juga lidahku yang kerap kali kelu,
semakin ku fikirkan, semakin bercambah pertanyaan,
entah bagaimana untuk ku temu jawapannya.

Cukupkah persahabatan jika harta jadi cagaran?
yang kaya pasti berteman dan yang miskin dicemuh,
Atau yang bercambah disebalik kuasa digenggaman,
pasti dikelilingnya teman yang bisa berdampingan
apakah persahabatan itu penceria suasana?
ataupun penglipur lara tatkala bersedih,

Teman itu yang bisa membuat hati senang
tapi ku tak mahu yang membiarkanku terleka
Jika begitu, yang sering menegur itulah teman
menegur hingga ku bisa terluka dan bersedih?
ku tidak pasti bisakah ku menanggungnya,
kerana itu perlunya bil hikmah.

Lantas bagaimana harus ku kenal mereka,
teman mahupun yang mengambil kesempatan,
teman itu bisa kau kenal sepanjang hidupmu,
kau melihat, menghayati dan menilai mereka,
tak semestinya teman itu sentiasa bersamamu
tapi semangatnya itu sentiasa mengiringimu

aku sahaja yang inginkan teman yang baik,
mungkin indah impian ini buat diriku,
tapi persahabatan itu bukan untuk seorang sahaja,
mereka juga inginkanku sebagai teman mereka,
itu cagaran biasa dalam berteman,
dan ku juga harus menjadi teman yang baik.

Luahan hati jacknaim
didedikasi buat semua teman
JACKNAIM
[ http://jacknaim.blogspot.com ]




Bila membaca rangkap terakhir sajak ini (dan ku juga harus menjadi teman yang baik) selepasrangkap-rangkap yang sebelumnya hanya dinukilkan tentang persoalan tentang persahabatan.....teringat saya tentang natijah dari 2 sabda Hadis Nabi Muhammad SAW yang seakan-akan menggambarkan rangkap terakhir sajak tadi..

Hadis 1 :

“ Agama itu dilihat daripada temannya, maka hendaklah kamu melihat dengan siapa kamu berkawan…”

Natijah dari hadis 1 : Kalau nak jadi Baik.. Kita kena cari kawan yang baik…

Hadis 2 :
“ seseorang itu adalah cermin saudaranya”

Natijahnya : kalau kita nak jadi kawan yang baik…. Kita kena jadi orang yang BAIK….

Kekadang pernah saya ditanya tentang bab-bab persahabatan ni... adakah persahabatan ini perlu bersyarat (cagaran)?? Sehingga syarat untuk mengikat tali persahabatan itu perlu memenuhi setiap syarat yang diingini oleh kita sendiri.... sebagaimana ungkapan dari sajak erti persahabatan tadi... seakan-akan syaratnya persahabatan itu perlu kecukupan pada cagaran timbunan harta, atau sebagai penglipur lara yang menceriakan ketika sedih , atau memerlukan kawan yang syaratnya perlu pandai menegur kesilapan kita dengan hikmah...

Sahabat Bukan Kawan

Namun tidak dapat tidak, kita kena yakin bahawa persahabatan, rakan-rakan dan teman-teman sekeliling merupakan pengaruh yang besar terhadap diri individu seperti kita semua...Mengapa teman seperjuangan Nabi Muhammad s.a.w digelar sahabat, bukan kawan?

Kehadiran mereka pada setiap peringkat usia Nabi, membawa peranan dan kesan yang berbeza sesuai dengan keadaan Nabi ketika itu. Seperti kewujudan para sahabat dalam kehidupan Nabi, seakan dirancang dengan sebegitu rapi bagi menemani susah senang kegetiran menggalas beban sebagai pemikul amanah Allah S.W.T.

1. Abdul Mutalib : pemelihara ketika anak yatim ini membesar
2. Abu Talib : pelindung setia
3. Siti Khadijah : penenang jiwa
4. Abu Bakar : susah bersama
5. Umar : nadi kekuatan,
6. Uthman : Taat setia,
7. Ali : pemuda tangkas…



dan ramai lagi para sahabat yang jika di bariskan dan di nyatakan karakternya, semuanya berperanan. Abu Hurairah, Salman Al-Farisi, Khalid Al-Walid, Abdul Rahman bin Auf dan lain-lain.

Tidak kurang juga Nabi berdepan dengan mereka yang bermuka-muka seperti Abdullah Bin Ubai dan beberapa tokoh munafik yang lain. Di hadapan Nabi Muhammad SAW dia berjanji tidak memusuhi baginda, tetapi di belakang dia berbuat sebaliknya. Saya terkesan bila membaca kisah Rasulullah dalam ketika baginda dan Umar menziarahi Ketua Munafik Abdullah Bin Ubai yang sedang nazak menunggu saat-saat kematiannya tatkala baginda menyelimuti Abdullah Ubai dengan jubahnya yang diminta oleh nya (Abdullah Ubai) sehinggakan menimbulkan perasaan kurang senang oleh Saidina Umar R.a ;

Setibanya mereka di tempat pembaringan Abdullah bin Ubai, yahudi tua itu berkata kepada Nabi
Muhammad SAW, "berilah saya jubah tuan itu, saya ingin menjadikannya selimut apabila ajal saya sampai." Nabi Muhammad SAW pun membuka jubah baginda yang paling bagus itu lalu baginda sendiri yang menyelimutkannya ke atas tubuh Abdullah bin Ubai.

Dalam perjalanan pulang Umar bin Khattab berkata; "Wahai Utusan Allah, tuan ini bagaimana?
Bukankah yahudi itu musuh ketat tuan?"

"Bukan, saya tidak memusuhinya. Dia yang memusuhi saya," jawab baginda Rasullah SAW.

"Dia itu ketua kumpulan hipokrit yang telah banyak menyusahkan kita.," kata Umar.

"Betul," sambung Rasulullah SAW.

"Untung betul nasib Yahudi itu, dapat mati dengan selimut jubah tuan.

Kami yang menjadi sahabat tuan sendiri, belum tahu dapat nasib sebaik nasibnya," kata Umar.

"Jangan saudara berfikiran sempit seperti itu," kata Rasulullah SAW.

"Mengapa tidak boleh?" Umar bertanya. "Adakah saya tidak boleh menyenangkan hati yahudi itu sebentar sebelum dia mengalami seksa berpanjangan di neraka?" Kata Rasulullah SAW

Umar diam sahaja mendengar kata-kata Rasulullah SAW.Kemudian Nabi Muhammad SAW menyambung, "Abdullah bin Ubai tidak selamat walaupun dengan memakai jubah saya. Jubah saya tidak dapat menyelamatkan sesiapapun. Apa yang dapat menyelamatkan seseorang itu daripada seksa neraka adalah iman dan amalan baiknya sendiri."


Begitu agung sifat dan akhlak Nabi bila bersama insan disekelilingnya. Kesemuanya insan yang berdiri di sekeliling nabi samaada mereka yang menemani perjuangan atau yang menjadi gunting
dalam lipatan ; yang menyulitkan usaha dakwah sepanjang kehidupan baginda. Baginda tidakmeletakkan apa-apa syarat untuk memisahkan baginda dengan insan tersebut. Menjadikan nabi antara tokoh pemimpin agung yang mempunyai warisan legasinya.

Namun hakikatnya, sepanjang perjalanan menyampaikan misi dakwah lembaran suci, Nabi pasti ditemani para sahabat-sahabatnya. Sokongn sepenuh masa insan sekeliling, antara faktor kehebatan peribadi Al Amin.

Jelas dari Sirah nabi menyaksikan, semulia-mulia dan sehebat-hebat insan seperti baginda SAW masih memerlukan bantuan insan lain utk menjalani kehidupan seharian, sedangkan dalam apa sahaja urusan , baginda mungkin sahaja boleh terus memohon dengan Allah yang sentiasa memakbulkan doanya.

Disinilah perbezaan antara Al-Khaliq pencipta 7 petala langit, 7 petala bumi dan segala isinya jika dibandingkan dengan seorang hamba yang hidupnya bergantung sesama hamba pada setiap ketika.

Erti Cinta Persahabatan Nabi kepada Ikhwan yang merentasi zaman.

Saya juga teringat akan kisah Nabi dan para sahabatnya. Kisah pertemuan baginda dengan sahabat- sahabatnya.

Di saat mana Rasulullah mengatakan dia merindui saudara-saudaranya, suasana di majlis pertemuan itu hening sejenak. Semua yang hadir diam membatu. Mereka seperti sedang memikirkan sesuatu. Lebih-lebih lagi Saidina Abu Bakar. Itulah pertama kali dia mendengar orang yang sangat dikasihi melafazkan pengakuan demikian.

Seulas senyuman yang sedia terukir dibibirnya pun terungkai. Wajahnya yang tenang berubah warna. "Apakah maksudmu berkata demikian wahai Rasulullah? Bukankah kami ini saudara-saudaramu? "

Saidina Abu Bakar bertanya melepaskan gumpalan teka-teki yang mula menyerabut fikiran.

"Tidak, wahai Abu Bakar. Kamu semua adalah sahabat-sahabatku tetapi bukan saudara-saudaraku (ikhwan)," suara Rasulullah bernada rendah. "Kami juga ikhwanmu, wahai Rasulullah," kata seorang sahabat yang lain pula. Rasulullah menggeleng-gelangka n kepalanya perlahan-lahan sambil tersenyum.

Kemudian baginda bersuara:
"Saudaraku ialah mereka yang belum pernah melihatku tetapi mereka beriman denganku sebagai Rasul Allah dan mereka sangat mencintaiku. Malahan kecintaan mereka kepadaku melebihi cinta mereka kepada anak-anak dan orang tua mereka."

Pada ketika yang lain pula, Rasulullah menceritakan tentang keimanan ‘ikhwan’ baginda:

"Siapakah yang paling ajaib imannya?" tanya Rasulullah.
"Malaikat," jawab sahabat.
"Bagaimana para malaikat tidak beriman kepada Allah sedangkan mereka sentiasa hampir dengan Allah," jelas Rasulullah. Para sahabat terdiam seketika. Kemudian mereka berkata lagi,
" Para nabi."
"Bagaimana para nabi tidak beriman, sedangkan wahyu diturunkan kepada mereka."
"Mungkin kami," celah seorang sahabat.
"Bagaimana kamu tidak beriman sedangkan aku berada ditengah-tengah kau," pintas
Rasulullah menyangkal hujah sahabatnya itu.
"Kalau begitu, hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui," jawab seorang sahabat
lagi, mengakui kelemahan mereka.

"Kalau kamu ingin tahu siapa mereka? Mereka ialah umatku yang hidup selepasku. Mereka membaca Al Quran dan beriman dengan semua isinya. Berbahagialah orang yang dapat berjumpa dan beriman denganku. Dan tujuh kali lebih berbahagia orang yang beriman denganku tetapi tidak pernah berjumpa denganku," jelas Rasulullah.

"Aku sungguh rindu hendak bertemu dengan mereka," ucap Rasulullah lagi setelah seketika membisu. Ada berbaur kesayuan pada ucapannya itu.

Mungkinkah yang dirindui oleh baginda SAW dalam hadis itu adalah kita semua yang hidup di abad ini?? Apakah kita meletakkan syarat untuk menerima sayang rindu Nabi Kepada kita ??

Kita yang harus meletakkan syarat atau kita yang perlu berpandukan syarat ? iaitu syarat wajib untuk menerima bahawa yang dirindui oleh baginda SAW terhadap umatnya di zaman selepas baginda ialah mereka yang ada pengorbanan dalam keimanan mereka ..

Pengorbanan dan kesungguhan untuk mendambakan diri menjadi kekasih kepada kekasih-Nya itu, diukur pada hati dan dibuktikan dengan kesungguhan beramal dengan Sunnahnya. Dan salah satu dari amal sunnah baginda ialah mengasihi sahabat-sahabat sekeliling kita sebagaimana kita mengasihi diri kita sendiri.

Sabda Rasulullah saw. "Demi Allah yang memakmurkan dunia, kamu tidak akan masuk syurga sehingga kamu beriman, kamu tidak akan beriman sehinggalah kamu berkasih sayang antara satu sama lain" (H.R. Muslim).

Sabda Rasulullah SAW " Tidak beriman seorang daripda kamu sehingga dia mengasihi saudaranya sepertimana dia mengasihi dirinya sendiri." Dalam hadis yang lain Rasul bersabda " Orang mukmin itu dalam kasih sayang dan kemesraan serta simpati sesama mereka bagaikan sebatang tubuh. Jika mana mana anggota tubuh mengalami kesakitan, maka seluruh tubuh akan merasainya."


Moga kita sebahagian dari yang dirindui Rasulullah SAW.



Gratisan Musik
iLuvislam.com Top Blog